Semasa menyusun jadual tazkirah zuhur Ramadhan di Masjid Negeri Sabah bagi tahun 2010 ini, saya sempat menyelitkan satu slot khas untuk diisi oleh JK Wakaf Masjid Penampang yang dianggotai oleh pelbagai pihak khususnya dari wakil-wakil NGO Islam dan penduduk muslim di Penampang.

Pada awalnya, saya meletakkan pengerusi JK Wakaf iaitu Tuan Haji Sainuri Yahmin untuk mengisi slot berkenaan. Namun pada tarikh berkenaan Tuan Haji Sainuri berhalangan dan telah digantikan oleh Datuk Haji Md Safari Abdul Manan.

Taklimat sekitar 40 minit itu menarik minat dan tumpuan kira-kira 300 jamaah yang sebelumnya menyertai solat zuhur di Masjid Negeri Sabah. Saya begitu berkeyakinan jika cara dan kaedahnya mengena, umat Islam khususnya di Penampang akan mendapat sebuah masjid yang disumbangkan oleh umat Islam sendiri lebih cepat daripada masa yang dijangka.

Sebenarnya masih banyak kaedah yang belum diterapkan dalam mempromosi wakaf masjid Penampang ini. Cadangan dan gerakan daripada seluruh umat Islam khususnya di Sabah untuk mempromosi wakaf ini amat dialu-alukan demi mencapai matlamat tertegaknya sebuah masjid sulung di daerah ini.

Kasihan juga melihat ramai jamaah tercari-cari borang wakaf yang tidak kecukupan pada tengahari itu. Ternyata Datuk Safari berjaya menyuntik semangat mereka untuk sama-sama menyumbang.