Ini pendapat saya setelah berziarah ke beberapa masjid dan surau sejak dua minggu berlalu.

Antara masjid dan surau yang saya kunjungi ialah Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan, Surau al-Hidayah Taman Olivia Kepayan, Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru, Surau an-Nur Taman Limauan dan Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu.

Pada minggu kedua, saya menziarahi Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil, Masjid Nurul Iman Taman Lok Kawi Kinarut, Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan, Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan, Masjid as-Salam Kg Contoh, Masjid Sembulan dan Surau Kg Suangon Kinarut.

Walaupun hanya baru empat belas lokasi yang saya datangi, namun saya yakini potensi dan prestasi tidak banyak berbeza antara satu dengan lain. Tambahan lagi rumah-rumah ibadah ini biasa saya kunjungi. Pendapat yang saya kemukakan ini adalah secara umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana masjid dan surau kecuali jika saya catatkan secara khusus.

1) Ada masjid yang meniadakan langsung wirid solawat. Sebenarnya tempoh solawat adalah sesuai bagi imam untuk merehatkan suara sebentar dan mengisi ruang untuk menghilangkan dahaga. Bagi saya alasan bahawa bilal bersolawat dengan cara yang pantas dan kelam kabut, jadi perlu ditiadakan solawat;  boleh diatasi dengan mendidik dan memberi latihan kepada muazzin dan jamaah.

Begitu juga tegahan kerana tiada dalil solawat selepas solat adalah terlalu dangkal dan lemah. Sesungguhnya masa bersolawat tidak ditetapkan secara khusus dan tiada larangan bersolawat selepas solat. Puak-puak inilah juga melarang orang membaca yasin malam jumaat, sedangkan membaca suratkhabar dan bersembang tidak mengapa. Cuba kalau ditanya orang, apa hukum senyum selepas solat, hukum tengok telefon bimbit selepas solat, hukum tengok tv selepas solat?

2) Secara khusus saya memuji pengurusan Masjid Sembulan berkenaan mengatur anak-anak solat tarawih. Mereka diletakkan di satu sudut dan dibetulkan saf mereka serta dijaga oleh beberapa petugas RELA. Saya rasa idea ini boleh dikembangkan ke mana-mana masjid dan surau. Oleh itu di masjid ini saya tidak melihat anak-anak umur 5-12 tahun berbuat bising atau berlarian ke sana sini kerana dipantau oleh petugas berkenaan.

3) Antara perkara yang berlaku di kebanyakan lokasi ialah masalah saf yang  renggang dan tidak rapat. Hakikatnya ramai yang datang solat tarawih jahil dengan peraturan solat berjamaah. Bahkan sesetengahnya marah apabila ditarik supaya rapat ke kanan atau ke kiri orang sebelahnya. Sebahagiannya merasakan bahawa setiap sejadah itu memang diperuntukkan seorang satu. Jadi akhirnya terbiarlah saf lompang di kiri atau di kanan tidak terisi. Inilah peranan imam dan JK untuk mengadakan siri-siri tazkirah dan kuliah agar kualiti ibadah semakin baik.

4) Para imam perlu bijak terhadap suasana jamaah dan masjidnya. Imam yang terlalu laju akan menzalimi ma’mum atau terlalu lambat bagi saya adalah menyusahkan jamaahnya. Bersederhanalah. Saya pernah dinasihati oleh Datuk Haji Asmali Bachi, katanya imam boleh laju tapi mesti bijak. Ertinya ramai imam memimpin terlalu laju sehingga dia sendiri melanggar hukum hakam tajwid al-Quran dan tidak menyempurnakan thoma’ninah sehingga imam dan ma’mum kelihatan berkejar-kejaran.

Bagi saya, imam berlaku ‘kejam’ apabila membaca surah al-Ikhlas misalnya terlalu cepat tanpa memberi ruang kepada ma’mum membaca al-Fatihah mereka. Sepatutnya, dengan surah sedemikian pendek, imam tidak terus membaca sesudah fatihah tetapi menunggu sebentar. Begitu juga sesudah membacanya, imam tidaklah terus menerus rukuk tanpa memperdulikan keadaan ma’mumnya.

5) Para muazzin banyak yang mesti diperbaiki kualiti penyampaiannya. Suara muazzin yang perlahan dan tenggelam akan membuatkan suasana menjadi suram. Pimpinan solawat yang terlalu laju menyebabkan jamaah tidak berminat untuk menyahut solat berkenaan bersama-sama. Akhirnya muazzin ternyata syok sendiri kerana solawatnya tidak bersambut. Insya Allah pihak Syukbah Dakwah Masjid Negeri akan mengadakan kembali latihan dan kursus buat imam dan bilal ini pada masa hadapan.

6) Program moreh – memberi jamuan dan makanan selepas tarawih adalah baik kerana ia melatih ahli masyarakat untuk bersedekah dan bersilatur rahim. Namun ada satu lokasi yang saya dapati menghulurkan sedekah berbentuk tapau ketika jamaah sedang sibuk bertahlil dan berdoa. Rasanya perbuatan itu agak kurang baik dan sebaiknya tunggulah sehingga majlisnya selesai diadakan.