Archive for 22 Ogos 2010


Saya suka masjid ini kerana ia terletak di tengah-tengah rumah orang kampung Cenderakasih Kolombong. Jumaat lalu saya solat di sini setelah lama tidak berziarah. Kali terakhir berkunjung ke masjid ini pada 2007 ketika saya mengiringi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah solat jumaat bersama penduduk kampung.

Saya tiba sekitar 12.20 tengahari dan ketika itu penduduk kampung mula datang memenuhi masjid. Jamaah jumaat di sini bukan setakat penduduk kampung tetapi juga pekerja-pekerja pelbagai syarikat kenderaan yang ada di sini. Memang masjid tidak kelihatan dari jalanraya utama, maka saya cadangkan pihak JK masjid memikirkan agar membuat papan tanda nama di tepi jalan menuju kampung berkenaan.

Masjid ini agak besar termasuk di bahagian dalam dan luarnya. Saya agak  ia boleh memuatkan tidak kurang 500 jamaah pada satu-satu masa. Menarik, khutbah dan solat jumaat turut disertai sekitar 100 orang kaum  muslimat yang ditempatkan di bahagian terbuka di belakang masjid.

Selepas jumaat saya melihat senarai khatib yang ditampal oleh pihak masjid. Nampaknya ramai ustaz-ustaz dari SK Mutiara yang mengambil bahagian. Alhamdulillah, saya berharap ustaz-ustaz dari sekolah berhampiran dan sekitar Kolombong dapat membantu mengimarahkan aktiviti ilmu di sini.

Dalam persinggahan ke surau-surau di kompleks membeli belah sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, boleh dikatakan kebanyakan pengurusan mereka tidak mengambil berat soal penyediaan surau secara sempurna. Ada yang terletak jauh di hujung bangunan, ada yang terlalu kecil, kotor dan sebagainya. Kalau saya hendak berburuk sangka, penyediaan surau hanya sekadar ada sahaja.

Persinggahan beberapa hari lalu ke Suria Sabah, sebuah kompleks membeli belah yang baru di tengah bandaraya Kota Kinabalu saya sempat solat asar di surau kompleks berkenaan. Dahulu saya pernah ditanya tentang lokasi ini dan saya memprotesnya.

Bangunan sebesar ini, sangat tidak patut menyediakan surau sekecil ini.  Tiada papan tanda arah ke surau melainkan hanya di hadapan pintu surau, sementara letaknya berhadapan tandas perempuan di tingkat tiga. Masuk saja ke surau berkenaan, pintunya hampir menghadap qiblat dan sekadar boleh memuatkan sekitar 10 orang dalam satu-satu masa. Sangat tidak patut!

Gambar kurang jelas kerana foto dirakam dengan kamera telefon bimbit sahaja.

%d bloggers like this: