Archive for 21 Ogos 2010


Sekitar 8.30 pagi khamis bersama beberapa orang sahabat kami bertolak dari Inanam menuju ke Kg Laputong untuk mengurus janazah Allahyarham Mohd Khairul Abdullah yang telah meninggal dunia pada selasa malam rabu di Hospital Queen Elizabeth 2, Luyang. Beberapa sahabat lain telah tiba lebih awal dan mereka berada di tanah perkuburan kampung berkenaan untuk proses menggali kubur.

Kami dimaklumkan majoriti penduduk di sini beragama Kristian terutama Roman Katholik dan Seventh Day Adventist (SDA). Hanya baru beberapa orang – tidak sampai 10 orang yang memeluk Islam di kampung ini. Sementara itu, urusan penyelenggaraan janazah seperti mandi, kafan dan solat akan dilakukan di rumah keluarga Khairul yang belum beragama Islam.

Kain kafan dipotong-potong, alat-alat pemandian disediakan, pakaian kot yang dipakaikan ke tubuh Allahyarham Khairul ditanggalkan. Proses memandikan janazah diketuai oleh Ustaz Hussin dari JHEAINS Tuaran. Kami sekadar membantu didahului dengan istinjak dan membersihkan make-up yang memenuhi mukanya dan kemudian menyiram, menggosok dan menyediakan air. Sesudah lebih 30 jam pemergian Allahyarham Khairul, kami menyaksikan darah masih mengalir keluar dari dalam tubuhnya.

Cabaran berikutnya apabila selesai memandikan janazah, keluarga Allahyarham meminta kami mengenakan kembali sepersalinan pakaian kot yang telah ditanggalkan sebelum mandi tadi. Ketika inilah YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N9 Tamparuli Datuk Jahid Jahim tiba. Saya ingat antara kata-kata beliau, “ketika inilah kebijaksanaan mesti digunakan”.

Manakan tidak, kami berada di kampung orang bukan Islam, di rumah orang bukan Islam, dikelilingi oleh bukan Islam. Jumlah kehadiran kami di rumah itu tidak lebih 10 orang sahaja. Sedikit percanggahan boleh menimbulkan perbalahan dan pergaduhan. Tolak ansur dan mengambil mudharat yang lebih ringan menjadi perkiraan kami dalam menyatakan persetujuan terhadap sebarang permintaan mereka.

Kami menerima permintaan mereka. Sepersalinan pakaian kot, lengkap bertali leher dan berkasut dipakaikan terlebih dahulu dan kemudian dilapis dengan kain kafan di luar seperti biasa. Saya memimpin solat janazah disertai oleh 9 yang lain termasuk YB Datuk Jahid Jahim. Solat janazah kami disaksikan oleh seluruh ahli keluarga dan masyarakat kampung sekitar 60-70 orang. Hanya kami pinta agar jangan berdiri di hadapan kami yang menghadap qiblat. Mudah-mudahan mereka lembut melihatnya tambahan lagi YB ADUN solat bersama-sama.

Cabaran berikutnya apabila membawa janazah ke perkuburan. Mereka meminta keranda sedia ada digunakan sehingga ke dalam kubur. Kami tidak banyak membantah. Kemudian kami beramai-ramai mengangkat dibantu ahli keluarga dan penduduk kampung. Perjalanan menaiki toyota hilux melalui jalan yang agak semak. Tidak begitu jauh namun cabarannya apabila mengangkat janazah menaiki bukit yang agak tinggi dan curam. Penduduklah yang memikul janazah sehingga ke puncak bukit. Lenguh juga rasanya.

Janazah dikebumikan dan kemudian dikambus. Mereka jugalah yang banyak membantu. Ketika talqin hendak dijalankan, kami saling bertuding siapa hendak memimpin. Akhirnya Ustaz Hussin juga yang memimpinnya. Tapi saya membisikkan padanya agak menyampaikan tazkirah saja dalam bahasa dusun sekitar 5-10 minit dan saya akan membacakan doa penutup.

Saya rasa itu lebih wajar kerana kami tidak lebih 15 orang, manakala jumlah mereka meningkat hampir 80-90 orang. Kesempatan itu mesti diambil untuk menerangkan keindahan Islam khususnya berkenaan persaudaraan dan kemasyarakatan. Ustaz Hussin juga menerangkan beberapa kesalahfahaman masyarakat terhadap keluarga mereka yang memeluk Islam.

Inilah pengalaman dakwah yang sangat berharga yang kami semua alami. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

Secara peribadi, saya merasakan peristiwa yang berlaku beberapa hari lalu sebagai suatu pengalaman dakwah yang sangat berharga dalam usia saya yang baru bertatih dalam dunia dakwah.

Kisahnya bermula pada pagi rabu lalu, apabila saya dan beberapa sahabat  menerima sms pemergian seseorang yang kami kenali. Mohd Khairul Abdullah @ Larrys Boso, 40 tahun telah memeluk Islam pada 2009 di JHEAINS Kota Kinabalu. Dalam tempoh beberapa bulan lalu, dia juga telah berkhidmat dan bekerja dengan Allahyarham Ustaz Haji Nahar Matamin yang telah kembali ke rahmatullah 11 Julai lalu.

Ahli usrah kami bersama keluarga masing-masing pernah mengadakan rehlah di Mimpian Jadi, Tuaran beberapa bulan lalu. Mohd Khairul ketika itu begitu sibuk membantu menyediakan persiapan makanan dan sebagainya. Memang saya sendiri tidak menegurnya, namun kelihatannya Khairul nampak sihat seperti biasa.

Isnin, seminggu sebelum pemergian Ustaz Nahar, Allahyarham Ustaz Nahar ada membawa Khairul ke rumah seorang sahabat kami untuk program usrah, dan saya sendiri tidak hadir. Ketika itu, ramai terkejut melihat Khairul mengalami rabun yang agak teruk. Dia tidak boleh melihat dan terpaksa dipimpin. Rakan-rakan membuat sedikit kutipan duit dan memutuskan agar Khairul menjalani pemeriksaan mata dengan doktor pakar dan dengan Permata Hijrah.

Khamis berikutnya, Khairul berangkat ke Telupid. Katanya untuk bertemu dengan keluarganya yang tinggal di sana. Rupanya, itulah pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham Ustaz Nahar kerana empat hari kemudian Ustaz Nahar kembali kerahmatullah. Agak malang, tiada sesiapa di kalangan kami mengetahui nombor telefon dan alamat perhubungannya kerana hanya Ustaz Nahar yang rapat dengannya.

Hampir 40 hari pemergian Ustaz Nahar, kami mendapat berita pula bahawa Khairul kembali kerahmatullah di Hospital Queen Elizabeth 2 di Luyang pada selasa malam rabu lalu. Kami sendiri kurang pasti bila dia dibawa ke Kota Kinabalu. Khairul disahkan menghidap kanser otak dan khabarnya beliau menjalani beberapa siri pembedahan.

Malam yang sama jenazah Khairul dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Laputung Tamparuli. Sebenarnya, Khairul memeluk Islam seorang diri tanpa isteri dan anak-anaknya. Di kalangan keluarga terdekatnya, hanya adik iparnya yang memeluk Islam. Alhamdulillah, adik iparnya inilah yang memaklumkan kepada Kak Norsidah (isteri Allahyarham Ustaz Nahar) akan pemergian Khairul.

Pagi rabu, usaha mencari jenazah Khairul dilakukan. Pada mulanya ketika ini, tiada siapa tahu jenazah Khairul dibawa ke mana. Ada yang mengatakan masih di Telupid, ada yang kata di Hospital Queen Elizabeth dan bermacam-macam lagi. Maklumat dicari, akhirnya kami mengesan jenazah sudah dibawa keluar.

Bahagian Dakwah JHEAINS sendiri dengan diketuai oleh Ustaz Senan Jipar pantas mengeluarkan dokumen pengislamannya untuk diserahkan kepada keluarga Khairul. Tugasan itu kemudian diserahkan kepada JHEAINS Daerah Tuaran untuk menyelesaikan kes ini kerana jenazah berada dalam daerah Tuaran. Kami mendapat maklumat bahawa keluarga khairul akan mengurus jenazahnya menurut agama Kristian.

Beberapa pegawai JHEAINS Tuaran diketuai oleh Ustaz Hussin tiba lebih awal sementara kami hanya tiba di lokasi sekitar jam 2 petang, selepas solat zuhur di Masjid Tun Ahmadshah Inanam Laut. Simpang Kampung Laputung terletak sekitar 10 minit dari Pekan Tamparuli, simpang dalam perjalanan ke arah Kundasang. Dari simpang berkenaan, laluannya agak curam ada hanya boleh dilalui satu lorong sahaja.

Setiba kami, rundingan diteruskan. Kami menerangkan bahawa kami memang mengenali dan bersahabat dengan Khairul. Akhirnya keluarga mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Khairul meninggal dunia sebagai seorang muslim. Hati saya tersentak sebenarnya melihat jenazah Khairul sudah siap dipakaikan lengkap dengan set kot dan berkasut, dimekap cantik dan disuntik (awet) dalam keranda yang disalibkan.

Persetujuan bersama dicapai bahawa jenazah hanya akan diselenggarakan pada pagi khamis menurut Islam dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di kampung ini.  Sebagai satu persefahaman, kami juga bersedia menanggung kos yang sedia ditanggung seperti kos pakaian, mekap, keranda dan kenduri pengkebumian yang mencecah RM3000. Saya menghantas sms kepada sahabat-sahabat sejurus itu agar sama-sama menanggung kos ini dan beramai-ramai hadir pada pagi khamis untuk urusan penyelenggaraan jenazah. Rombongan kami akan datang lagi atas nama Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah.

Bersambung…

%d bloggers like this: