Archive for 16 Ogos 2010


SEJADAH GULUNG

Sejadah seumpama ini berharga antara RM120 hingga RM180 bergantung kepada kualiti dan rundingan dengan penjual. Saya cadangkan sejadah seumpama ini dijadikan sebahagian projek wakaf ke surau-surau dan masjid-masjid khususnya sempena bulan Ramadhan.

Nampaknya masih banyak surau dan masjid di kampung-kampung dan sekolah-sekolah yang memerlukan. Selama sajadah masih dimanfaatkan walau kita sudah tiada di dunia ini, pahalanya sudah tentu masih mengalir buat kita. Mudah-mudahan Allah memberi kesempatan.

SYOMENG

Di tepi rumah, kami ada memelihara puluhan ekor ayam dan hampir 10 ekor arnab. Anak ayam dipelihara daripada kecil sekitar usia seminggu dan akhirnya disembelih sendiri ketika dewasanya. Biasanya disembelih ketika berumur 45 hari ke atas.

Sejak beberapa bulan kebelakangan, saya membeli bekalan makanan ayam dan arnab di sebuah kedai apek di Petagas. Harga agak berpatutan berbanding tempat-tempat sebelum ini. Layanannya sekeluarga dengan saya pun agak baik. Dia tahu, ketika saya datang 2-3 kali sebulan, mesti mencari bekalan makanan arnab di kedainya.

Hari ini saya singgah lagi untuk membeli bekalan yang sama. Anak-anak ayam yang baru juga bertambah banyak dan perlu bekalan makanan. Ada tawaran menarik oleh uncle apek itu. Dia mahu memberi seekor kucing yang disayanginya kepada kami.

Pulang petang, saya bersama isteri dan anak-anak singgah lagi dan membawa anak kucing yang agak besar dan comel untuk dibawa pulang. Katanya, dia kasihan melihat satu-satu kucingnya diganggu oleh anjing-anjing berdekatan. Jadi hanya tinggal seekor ini, dia rela memberikannya kepada kami tanpa sebarang apa-apa bayaran.

Di rumah, ternyata anak-anak menyenanginya. Sehari dua ini dia akan dikurung terlebih dahulu sebelum dibebaskan. Dia buang air kecil dan besar di dalam mangkuk yang disediakan. Pembersih rupanya. Insya Allah saat ini dia akan menjadi sebahagian keluarga ini sebagaimana saya menjaga kucing dan arnab yang lain. Selamat datang syomeng.

%d bloggers like this: