Archive for 15 Ogos 2010


Siri-siri tazkirah selepas solat zuhur sepanjang Ramadhan diteruskan lagi pada tahun ini di Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, atas bantuan sahabat-sahabat saya diamanahkan untuk mengatur jadual berkenaan di bawah kendalian Syukbah Dakwah.

Kalau tidak salah, ini tahun keempat saya menyusun jadual tazkirah zuhur Ramadhan. Kehadiran pula amat memuaskan dengan kehadiran sekitar 200 hingga 300 jamaah. Pihak pentadbiran MNS juga memberikan kerjasama yang baik dengan menyediakan bajet yang bersesuaian.

1 Ramadhan :

Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim membuka tirai tazkirah dengan tajuk ‘Kesilapan Orang Yang Berpuasa’. Antara yang disentuh oleh beliau ialah ramainya umat Islam berpuasa dan bertarawih tanpa ilmu dan sekadar ikut-ikutan. Orang lain puasa, maka dia pun puasa. Orang bertarawih, maka dia pun bertarawih. Apabila orang tak datang lagi, maka dia pun sama tak datang. Maka kesimpulannya, umat Islam mesti terus mendalami ilmu agama ini.

2 Ramadhan :

Dr Adlin Zafrulan Hj Zakaria meneruskan slot kesihatan. Inilah slot yang sentiasa saya masukkan sejak empat tahun lalu. Antara tajuk yang pernah dibincang pada tahun-tahun sebelum ini ialah tentang merokok, penyakit-penyakit berat, H1N1 dan kali ini ‘Solat Daripada Perspektif Kesihatan’. Beliau menyentuh beberapa hasil kajian pakar antaranya ketika mendakap tangan, berdiri, rukuk, sujud, duduk, thoma’ninah dan lain-lain.

4 Ramadhan :

Ustaz Nik Anwar Zakaria membawa tajuk Khurafat Dalam Perubatan. Antara perkara yang disentuh ialah kepercayaan tahdhirul arwah atau dipanggil ‘menurun’ dalam masyarakat. Kepercayaan yang kuat dalam masyarakat bahawa ruh seseorang yang telah mati boleh masuk ke dalam badan orang yang hidup serta boleh bercakap dengan orang lain. Kepercayaan ini tertolak dengan nas-nas al-Quran dan hadith Rasulullah SAW.

5 Ramadhan :

Ustaz Muhammad Sayuti Shukor dengan tajuk Tarbiyyah & Ramadhan mengisi slot hari ke-5. Ramadhan dipanggil bulan tarbiyyah dan sepatutnya menjadi medan kita membuat koreksi dan memulakan perubahan ke arah yang lebih baik. Beliau memberikan banyak contoh kerosakan akhlak dan aqidah yang berlaku dalam masyarakat yang memerlukan tarbiyyah dan perubahan.


“Dan tidaklah suatu kaum (kelompok) berkumpul di salah satu rumah Allah  membaca Kitabullah dan mengkajinya di antara sesama mereka melainkan ketenangan akan turun di tengah mereka, rahmat meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka serta Allah akan menyebut mereka di sisi para malaikat”.

Ini adalah pemandangan biasa terutama selepas solat tarawih di masjid dan surau. Beberapa kumpulan dibentuk dan mereka bertadarrus al-Quran. Alhamdulillah, beberapa masjid dan surau yang saya kunjungi untuk bertarawih setakat ini, suasana ini berlaku.

Saya cadangkan kumpulan-kumpulan seumpama ini diteruskan walau selepas Ramadhan. Jadikan ia satu program tetap sekurang-kurangnya seminggu sekali atau lebih kerap jika berkemampuan. Pastikan di dalam kumpulan terdapat mereka yang mahir al-Quran khususnya dalam ilmu tajwid.

Foto-foto dirakam di Surau Riyadhus Solihin pada malam kedua. Menariknya, anak-anak turut dilibatkan bersama-sama dengan orang tua mereka. Tahniah.

%d bloggers like this: