Archive for 14 Ogos 2010


LATIHAN


Ketibaan Ramadhan menjadi medan untuk mengukuhkan lagi aktiviti ibadah yang sedia ada. Dalam konteks keluarga saya, kesempatan ini diambil peluang untuk mentarbiah anak khususnya Nuha yang baru berumur 7 tahun pada awal Ogos.

Soal puasanya sememangnya sudah dilatih sejak umur 5 tahun. Ya walaupun ada lompang di sana sini kerana demikian tabiat anak-anak, kita sudah mencuba sedaya yang mungkin. Cuma saya sedikit terkilan apabila dia menceritakan suasana di sekolahnya yang kurang kondusif kerana hanya 2-3 orang kawannya yang berpuasa.

Bagi saya menjaga puasanya ketika hujung minggu di rumah lebih mudah berbanding di sekolah. Hari kedua Nuha muntah dan akhirnya minum air kawannya di kelas. Sebagai bapa saya tahu dia mampu dan boleh bertahan sehingga maghrib. Tapi demikian suasana tidak mendorong dia untuk terus berpuasa.

Dua adiknya di PASTI juga diusahakan berpuasa walaupun setengah hari. Sedapatnya tempoh persekolahan, mereka tidak membawa bekal ke PASTI sebagai suatu galakan awal. Sesekali mereka juga turut makan sahur bersama-sama walaupun tidak berpuasa. Bagi saya sangat penting mewujudkan suasana berpuasa dalam lingkungan keluarga sebagai asas.

Kadang-kadang lucu juga melihat telatah anak-anak. Liat dipujuk untuk makan sahur, akhirnya setelah berjaya, mereka makan terus menerus sehingga azan subuh berkumandang. Begitu juga waktu berbuka, seleranya mengalahkan orang berpuasa. Tetapi bagi saya tidak mengapa. Peringkat ini saya suka mendedahkan mereka tentang ibadah tersebut.

Nuha juga sudah tahu solat sedikit demi sedikit. Dia sudah hafal doa iftitah, surah al-Fatihah dan beberapa bacaan lain. Kesempatan Ramadhan saya menyuruhnya agar solat beberapa waktu terutama subuh dan maghrib. Hanya kadang-kadang dia keliru nama solat dan rakaat.

Dia juga pernah ikut solat tarawih. Hanya saya memberi amaran agar tidak bermain. Makcik-makcik yang ada di sana akan memberi laporan tentang kelakuannya. Oleh kerana itu pengalaman pertamanya, katanya letih ikut solat tarawih.

Adik-adiknya pula apabila melihat kakaknya asyik mengambil wudhu’, mereka cemburu. Langsung sama-sama ke bilik air dan berwudhu lalu ikut serta solat sesama mereka. Hadi yang akan 4 tahun disember nanti berkeras pada mulanya hendak menjadi imam. Sudah ada kefahamannya bahawa lelaki mesti menjadi ketua dan pemimpin. Saya rasa guru di PASTI memainkan peranan ini.

Walaupun belum tahu sepenuhnya tentang solat, mereka faham tentang beberapa perkara berkaitan seperti perlu ambil wudhu’ (walaupun belum berapa betul), mengambil tikar sejadah dan bertanya arah qiblat, memakai telekung dan kopiah dan sebagainya.

Melatih anak untuk kasihkan ibadah dan agama bukan semestinya dengan membawa ke masjid semata-mata. Saya sendiri bertanya dengan beberapa ulama’ agar tidak terlalu awal membawa anak-anak kecil ke masjid sehingga nanti mengganggu ketenteraman dan ketenangan beribadah. Apatah lagi anak yang belum mumaiyyiz dan masih menanggung najis, contohnya masih memakai lampin pakai buang.

Bagi saya demikian Nabi menganjurkan ibadah solat sunat dibanyakkan di rumah agar hikmahnya anak-anak kecil dapat memerhati dan mengambil pengajaran di rumah sahaja. Jika kita hendak memesrakan anak-anak dengan masjid, bawalah mereka berkelah di masjid dan perkarangannya pada hujung minggu atau waktu bukan puncak yang mereka tidak mengganggu solat jamaah.

Doa saya semoga anak-anak ini terbiasa dengan ibadah asas, dan kita sebagai ibu bapa berdikit-dikit dalam mengasuh mereka tentang kewajiban agama.


Saya tidaklah terlalu rapat dengan beliau. Namun beberapa kali menggunakan khidmatnya untuk sebagai juri @ hakim MTQ al-Quran di beberapa jabatan kerajaan, kerana saya sebagai salah seorang urusetia di JHEAINS yang mengatur tentang penghakiman. Beliau juga pernah bertugas di SMA Islam Toh Puan Hajjah Rahmah beberapa ketika. Terakhir beliau bertugas di SMK Peter Mojuntin Penampang.

Penyakit yang dialaminya secara umum sudah saya ketahui hampir setahun lalu apabila saya bertanya kepada Sdr Janis Abdullah yang saya kenali sejak sama-sama bertugas di Masjid Negeri Sabah sehingga kini. Pertanyaan itu muncul apabila saya membaca tiga catatan beliau akhir tahun lalu lewat blognya di http://jjamarchon.blogspot.com/.

Sdr Janis pernah memberitahu saya melalui SMS pada akhir Disember lalu akan kanser dalaman yang dialami isterinya dan sudah merebak ke hati dan buah pinggang. SMS itu masih dalam simpanan saya sehingga kini. Ketika itu katanya penyakit sudah lebih 2 tahun.

Kali terakhir saya bertemu dengan Ustazah Ailen atau nama di dalam facebook Alin Azleen ialah ketika Seminar Perubatan Islam di Masjid Negeri. Ustazah turut menyertai sesi rawatan pada sebelah petang oleh Ustaz Nik Anwar. Ketika rawatan itu, Ustazah tidak mengalami masalah apa-apa.

Sehari sebelum Ramadhan tempohari, Ustazah Ailen Usok, 43 tahun disahkan kembali kerahmatullah di Hospital Likas dan dikebumikan di Taman Perkuburan Orang Islam Tambunan sebagaimana yang dipohon olehnya. Semoga Allah memberi kesabaran kepada Sdr Janis Abdullah sekeluarga. Al-Fatihah.

Catatan Sdr Janis berkenaan penyakit yang dialami isterinya ada  di sini : http://jjamarchon.blogspot.com/2009/12/coretan-di-pagi-raya-aidil-adha.html

http://jjamarchon.blogspot.com/2009/12/rakan-kongsi-bertuahnya-kerana-ramai.html

http://jjamarchon.blogspot.com/2009/12/rakan-kongsi-hari-jadi-di-hospital-siri.html/



%d bloggers like this: