1) Setiba di sajadah imam, saya seru jamaah akan melurus dan merapatkan saf. Biasanya saya menghadap jamaah terlebih dahulu, dan memastikan khususnya saf pertama sudah kemas dan tersusun. Sekurang-kurangnya seruan itu saya ulangi selepas habis lapan rakaat kerana ramai yang keluar solat, dan ketika memulakan witir.

2) Saya membaca doa iftitah dalam setiap awal solat selepas takbiratul ihram, kerana ia disunnatkan. Rakaat 1 dan 2 adalah solat yang berlainan dengan rakaat 3 dan 4, kerana masing-masing dipisahkan dengan salam. Oleh itu doa iftitah tetap dituntut. Doa iftitah yang biasa kita baca itu, bukanlah satu-satunya yang Nabi SAW baca. Dalam kitab al-Azkar, ada diterangkan beberapa hadith berkenaan doa-doa iftitah yang dibaca oleh Rasulullah SAW. Rujuk di sana.

3) Sejak beberapa tahun kebelakangan, saya membiasakan diri untuk waqaf setiap akhir ayat dalam surah al-Fatihah. Berhenti (waqaf) adalah lebih baik daripada menyambungkannya. Dalam masa yang sama, kadar bacaan mad ‘aridh lissukun saya baca 2 harakat sahaja.

4) Selepas fatihah saya biasa membaca ayat bukan lazim dengan kadar setengah muka surat atau seperempat bagi setiap rakaat, bergantung kepada masjid atau surau yang mengundang. Keseluruhannya, dalam solat tarawih jumlah ayat yang dibaca sekitar dua helai setengah (seperempat juzu’) dan tidak lebih dari setengah juzu’. Tingkatan bacaan yang dipilih ialah secara hadar (pantas).

5) Saya biasa memenuhi zikir rukuk, sujud sebanyak tiga kali. Begitu juga zikir duduk antara dua sujud dan tahiyyat akhir dibaca penuh sehingga ke hujungnya seperti solat biasa.

6) Saya membiasakan jamaah yang saya pimpin dengan sedikit tazkirah tidak melebihi 5 minit. Ia telah saya mulakan ketika saya bertugas di istana negeri, di mana dalam sebelum tarawih, saya bacakan sepotong hadith yang ringkas dan mudah difahami. Di tempat lain, tazkirah diadakan selepas salam rakaat kelapan. Namun ada juga masjid dan surau yang tidak saya adakan tazkirah yang dimaksudkan.

7) Memimpin solat tarawih 20 rakaat lebih saya sukai berbanding sekadar 8 rakaat. Jika ada undangan untuk 8 rakaat, saya akan menarik diri dan meminta penganjur mencari imam yang lain. Saya tidak bersedia memenuhi kehendak penganjur yang solat sedikit dan mengurangi ibadah tarawih yang biasa saya lakukan.

8) Seperti masjid dan surau kebanyakan, wirid selepas witir adalah wirid ‘ya latif’, tahlil dan doa. Sebelum bangkit, bersama-sama berniat puasa untuk keesokan harinya.

Demikianlah kebiasaan saya mengendalikan solat tarawih dan witir sehingga ke hujung. Artikel ini juga boleh menjadi panduan kepada mereka yang hendak mengundang saya agar mengetahui lebih awal stail saya. Barangkali itu juga puncanya ada JK yang tidak berkenan menjemput kerana kesimpulannya saya lambat berbanding imam lain yang ekspres. Namun, menjadi ma’mum lebih saya sukai berbanding menjadi imam. Wallahu a’lam.