Jam 2.30 petang jumaat, saya kembali mengisi program di SMKA Mohammad Ali khusus buat pelajar putera tingkatan empat seramai lebih 30 orang dengan tajuk Pengurusan Imam. Pembentangan di Masjid al-Bukhari berkisar dengan syarat dan akhlak seorang imam.

Selain itu, kami berbincang juga tentang tanggungjawab dan kepakaran seorang imam selain daripada memimpin solat dengan baik khususnya dalam konteks seorang pelajar dan di dalam masyarakat setempat.

Saya mencadangkan kepada mereka meningkatkan kemahiran tentang pengurusan janazah, memimpin kenduri kendara seperti bacaan yasin, tahlil dan pelbagai doa, barzanji dan marhaban, sembelihan haiwan seperti ayam, kambing, lembu dan kerbau, takbir hari raya, khutbah jumaat, raya, gerhana dan istisqa’, ceramah dan tazkirah, memimpin mesyuarat, kebolehan menjadi kaunselor yang baik dan sebagainya.

Ceramah berlangsung sekitar 2 jam. Hampir ke setengah jam terakhir, peserta tidak rasmi bertambah apabila pelajar puteri dan pelajar tingkatan lain masuk untuk persediaan solat asar. Ketika ini, saya paparkan di layar foto-foto pergerakan solat yang tepat dan kurang tepat.

Kami meninggalkan SMKA Mohammad Ali sekitar jam 5 untuk ke Kg Luanti memborong dan memajak durian sepenuh bonet kereta. Habis kereta berbau durian.