Perjalanan dari rumah bermula hampir jam 8 pagi. Saya bergerak menuju ke Taman Pantai Lok Kawi Kinarut untuk mengambil teman seperjalanan. Adik Arshad berumur 16 tahun sudi menemani saya ke Ranau walaupun baru diperkenalkan oleh sahabat jamaah masjid di sana.

Arshad tinggal di taman berkenaan dan menurutnya dia berhenti sekolah sejak 2 tahun lalu kerana tidak tahan diejek oleh kawan-kawannya. Dia juga baru berjinak-jinak dengan jamaah tabligh. Selain Arshad, di masjid berkenaan saya turut mengambil 10 kampit beras dan sejumlah air minuman untuk disumbangkan kepada masyarakat kampung.

Kami tiba di lokasi – SMK Agama Mohammad Ali Ranau atau biasa dipanggil SEMEKAR terlewat setengah jam daripada yang dijadualkan. Sebenarnya silap sendiri kerana perut saya meragam sebelum berangkat dan kedua terpaksa singgah  memperbaiki tayar yang rupanya sudah hampir botak.

Ini adalah kunjungan kali ketiga ke sekolah ini. Jujurnya saya suka datang dan mengisi program di sini. Sebenarnya program hari ini ialah Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadhan dan Bi’ah Diniyyah Arabiah anjuran Jabatan Pendidikan Islam & Bahasa Arab sekolah ini. Ketika saya tiba, ada pelancaran tabung Ramadhan oleh Puan Pengetua Ustazah Hajjah Hapsah Abdul Ghani yang baru bertugas di sekolah ini.

Saya bertemu sahabat lama Ustaz Rezany yang mengatur undangan, Cikgu Hairy Sulimat kenalan sejak 15 tahun lalu dan juga Ustaz Abdul Aziz Muji  seorang aktivis dakwah di Ranau yang sudah berpindah ke sekolah ini sejak beberapa bulan lalu. Sebelum ini beliau bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah.

Ceramah saya di hadapan 500 pelajar berlegar berkenaan empat perkara pengisian sepanjang Ramadhan, iaitu puasa, solat malam, tilawah al-Quran dan sedekah. Saya juga cadangkan secara ringkas diari ramadhan yang meliputi 40 amalan sepanjang hari bermula tengah malam sehingga tidur pada waktu malam untuk dipraktikkan oleh para pelajar.

Ceramah berakhir pada 11.40 pagi dan saya bergerak untuk ke lokasi berikutnya.Terima kasih buat pengetua dan seluruh warga sekolah yang sudi mengundang saya.