Archive for 4 Ogos 2010


Lebih 600 umat Islam menghadiri Diskusi Ramadhan bersama Ustaz Zahazan Mohamed di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji mulai jam 8.30 malam tadi. Diskusi berkenaan dianjurkan bersama Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, Pustaka Aslam dan Hidayah Permai Construction dan dipengerusikan oleh Ustaz Md Jumat Albelurani yang juga aktivis Yayasan Amal Malaysia.

Majlis berkenaan didahului dengan tayangan video selama 10 minit yang memaparkan aktiviti Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah di seluruh negeri sejak beberapa tahun kebelakangan. Diskusi ini merupakan sebahagian daripada aktiviti sekaligus mempromosi Yayasan Amal ke tengah masyarakat agar umat Islam khususnya turut membantu dan menyumbang dalam program-program kebajikan di seluruh negeri.

Ustaz Zahazan pula memulakan diskusinya dengan menghuraikan ayat 183-185 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kefardhuan puasa. Beliau juga banyak mengutarakan kehidupan para salafus soleh dalam kehidupan beragama mereka untuk dijadikan panduan bersama.

EMPAT AMALAN UTAMA

Ustaz Zahazan memetik beberapa pendapat ulama’ agar sepanjang Ramadhan ini umat Islam menumpukan aktiviti kepada empat perkara iaitu puasa, qiyam (menghidupkan malam dengan solat dan seumpamanya), tilawah al-Quran dan bersedekah.

Dalam sesi kedua, audien mengutarakan lebih 20 soalan kebanyakannya berkaitan Ramadhan kepada Ustaz Zahazan dan beliau berjaya menjawabnya dengan baik dan berhikmah terutama soalan yang berbentuk khilafiyah.

Sebelum majlis berakhir, beliau turut mempromosi Majalah Solusi yang diusahakan Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd. Saya dimaklumkan jumlah jualan majalah ini mencecah 80 ribu setiap keluaran. Majlis berakhir pada jam 11.20 malam dengan penyampaian cenderamata  dan sesi bergambar bersama JK penganjur.


KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Peserta dari Mesir Hani Abdel Aziz Ahmad dan peserta dari Pakistan Samia Khanan dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-52 yang berlangsung di sini malam tadi.

Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000 (RM31,975), piala, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Johan qari memperoleh pungutan markah sebanyak 91.46 peratus sementara johan qariah mendapat 91.08 peratus.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isteri Datin Fatmawati Saidin, bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam Pengiran Datuk Seri Setia Dr Mohammad Pengiran Abdul Rahman.

Sementara itu, qari dari Malaysia Wan Ainuddin Abdullah dan qariah dari Brunei Dayang Nurfaezah Emran muncul naib johan qari dan qariah melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,000 (RM22,382) bagi setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi qari dan qariah dari Filipina iaitu Abdul Wadoud K. Esmail dan Monaifah A. Bogabong Alawi melayakkan mereka untuk membawa pulang wang tunai AS$4,000 (RM12,790) setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan. Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai AS$1,500 (RM4,796) setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah” itu berlangsung selama lapan hari bermula 27 Julai lepas dan disertai 76 peserta dari 47 negara, dengan menyaksikan empat negara pertama kali menghantar peserta tahun ini iaitu Kazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti.

Sementara itu Hani Abdel Aziz Ahmed ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau amat terkejut dengan kejayaan yang dicapai tetapi menyifatkannya sebagai anugerah Allah.

“Saya terkejut dengan kemenangan ini… ini semua kelebihan dan mukjizat dari Allah untuk membuat kita semua lebih bertaqwa,” katanya dalam bahasa Arab Mesir yang diterjemahkan oleh pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Samia pula mengakui tidak menduga akan mendapat kejayaan itu selepas beberapa kali menyertai pertandingan itu.

Naib johan qari Wan Ainuddin dari Wilayah Persekutuan berkata kemenangan yang diperolehi di tempat kedua itu memberi makna yang besar dalam kehidupannya memandangkan pertama kali menyertainya.

“Saya tidak menyangka memenangi tempat kedua pada malam ini kerana saya demam dan selesema teruk dua hari sebelum membaca al-Quran pada malam terakhir (semalam). “Insya-Allah jika diberi peluang akan menyertai pada masa akan datang,” kata johan Qari itu pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-53.

Wan Ainuddin yang juga imam di masjid Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya berkata golongan muda perlu berani untuk mendalami isi kandungan al-Quran yang menjadi pedoman hidup di dunia dan akhirat. — Bernama


%d bloggers like this: