Archive for 1 Ogos 2010


KENDURI 2 DALAM 1


Alhamdulillah, kenduri di rumah berlangsung dengan baik sehingga ke hujung dan berakhir sekitar jam 6 petang. Kenduri dua dalam satu, tahlil arwah dan kenduri kesyukuran sempena ulangtahun anak-anak dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, jamaah masjid dan sahabat handai.

Di tingkat atas majlis tahlil dan kenduri arwah dilangsungkan dan dihadiri oleh pihak lelaki. Sementara di bawah kaum ibu dan anak-anak meraikan kenduri kesyukuran dengan sesi potong kek setelah majlis di tingkat atas selesai. Nuha sambut ulangtahun ke-7 pada 3 Ogos dan adiknya ‘Aina berumur setahun pada 30 Julai.

Sekalung penghargaan buat semua yang meluangkan masa hadir dalam kenduri kami khususnya sahabat saya Hj Yakob dan isteri Umieng yang datang dari Beaufort, walaupun mereka baru terlibat dalam kemalangan beberapa hari lalu.

Saya dimaklumkan Hj Yakob belum begitu sihat sepenuhnya, dan kami sekeluarga menghargai komitmen mereka berdua yang datang sejak awal. Umieng pula adalah sahabat akrab isteri saya dan dia banyak membantu kami semasa kelahiran Nuha di Mesir.

Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain datang dari Taman Kingfisher, Taman Indah Permai, Taman Putera Perdana dan dari Kg Likas; sahabat-sahabat lain termasuk rombongan dari Surau Taman Austral yang sudi meluangkan masa bersama-sama. Kami juga berbesar hati dengan kehadiran jamaah masjid kg Meruntum yang datang walaupun terpaksa mengurus janazah yang baru meninggal dunia sebelum itu.

Anak kami, Nuha gembira sekali melihat ramai kawan-kawan sebayanya datang.  Dia berumur 7 tahun pada 3 Ogos (lahir pada 2003 di Mansoura Mesir). Kepadanya, kami memikul satu lagi amanah kerana ada pesanan Nabi SAW berkenaan anak-anak : “(Didiklah anak dengan cara) bermain pada 7 tahun pertama, berikan adab pada 7 tahun kedua, bersahabat dengannya pada 7 tahun ketiga”.

Insya Allah, adab akan diserap sedikit demi sedikit kepadanya. Peraturan pertama sebelum tidur ialah dia kena buat empat perkara : buang air kecil, gosok gigi, ambil wudhu’ dan doa sebelum tidur. Insya Allah, kalau sudah biasa adab seterusnya akan diajar kepadanya.

Ramadhan semakin hampir. Antara perkara yang dianjurkan ialah memperbanyakkan tilawah al-Quran di dalam bulan ini. Jika baru hendak bermula, pupuklah kesedaran untuk belajar membaca. Jika sudah pandai, pupuk kesedaran untuk membacanya secara sistematik dan istiqamah.

Konsep tadarrus hari ini bagi saya baik dan boleh diperbaiki lagi. Jika kita selama ini hanya memberi tumpuan kepada memperbetulkan bacaan, itu baik dan ditambah lagi.

Contohnya, tazkirah dilakukan pada waktu sesuai sama ada ketika selangan rakaat tarawih atau selepasnya (waktu biasa bertadarrus) untuk tafsir surah tertentu dalam masa 10 minit. Berikan tumpuan satu atau beberapa surah dalam Ramadhan tahun ini dan tahun hadapan sambung lagi.

Sayangnya, sudah bertahun-tahun kita tadarrus baca al-Quran, tapi kefahaman masih agak rendah.

Jika kita hendak bertilawah secara sendirian, bahagikan setiap hari sejuzu’ (20 mukasurat @ 10 helai). Pada setiap waktu solat (sebelum atau selepasnya), bacalah sebanyak 2 helai @ 4 mukasurat. Lima waktu solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak; dengan izin Allah kita dapat sejuzu’ sehari. Kalau ada kemampuan, bacalah lebih.

Jika ada kemampuan lagi, baca juga terjemahan al-Quran. Semoga Allah membantu kita istiqamah mendalami kalam-Nya.

%d bloggers like this: