“Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara : Cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap keluarganya, dan selalu membaca al-Quran..” (HR at-Thabrani)

1) Ayah yang menyerahkan anaknya kepada sekolah-sekolah asing, atau sekolah-sekolah missionari agar anak-anak itu dididik di situ serta mendapatkan petunjuk dan pelajaran di tangan guru-guru missionari itu, tidak syak lagi akan mendapati anak-anak itu dibentuk atas dasar-dasar kesesatan, dan dadanya akan diasak dengan bibit-bibit kufur dan ilhad. Akhirnya akan terlekat di dalam hatinya perasaan benci kepada Islam dan permusuhan terhadap agamanya sendiri.

2) Ayah yang menyerahkan pimpinan anaknya kepada guru-guru yang mulhid dan pendidik yang jahat, menyematkan prinsip-prinsip kufur di dalam hatinya serta menanam benih-benih sesat ke dalam jiwanya, tidak syak lagi si anak akan membesar di dalam pendidikan ilhad dan petunjuk yang sangat membahayakan dan jauh dari pengajaran agama Islam.

3) Ayah yang membiarkan anaknya membaca apa sahaja daripada buku-buku  orang mulhid dan materialis, atau membiarkan saja anaknya membaca tulisan yang menikam agamanya sendiri oleh para missionari dan penjajah, tidak syak lagi akan mendapati anaknya sentiasa dalam keraguan terhadap aqidah dan agamanya, dan sentiasa memandang rendah terhadap sejarah dan kebanggaan datuk neneknya, dan akan menjadi musuh yang menentang terhadap prinsip-prinsip Islam.

4) Ayah yang membebaskan anaknya membuat sesuka hatinya, dan membiarkan dia bercampur gaul dengan orang-0rang yang bengkok dan sesat perjalanannya, dan tidak mengambil pusing apa yang anaknya percaya kepada prinsip-prinsip yang sesat dan pemikiran-pemikiran serong yang beracun, tidak syak lagi akan menyebabkan si anak itu mencaci segala nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip budi luhur yang diajarkan oleh agama dan syariatnya.

5) Ayah yang membuka jalan bagi anaknya untuk memilih kumpulan-kumpulan ilhad dan kufur, atau organisasi-organisasi atheis, atau menjadi ahli dalam kelab-kelab yang tidak berhubungan dengan Islam dalam segi aqidah, pemikiran dan sejarah, tidak syak lagi akan mendapati anaknya terdidik dengan kepercayaan-kepercayaan yang sesat dan menganut prinsip-prinsip ilhad dan kufur, malah akan menjadi musuh yang dahsyat terhadap agama dan nilai-nilainya yang suci.

Dipetik daripada buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam oleh Abdullah Nasih Ulwan Terjemahan Syed Ahmad Semait.

Wahai diriku yang menjadi bapa kepada anak-anak, beratnya tugas terhadap anak-anak. Besarnya cabaran aqidah dan syariat pada zaman fitnah ini. Semoga Allah menyelamatkan anak-anak daripada bencana dunia yang tidak berkesudahan ini.