Archive for 26 Julai 2010


TUAN HAJI BARABAG @ ABDULLAH

Foto dirakam pada 12 Julai 2009 di Kg Tamau Kota Belud ketika kami hendak pulang ke Kota Kinabalu setelah selesai berziarah dan makan tengahari di rumah ini.

Jam 6.50 petang, Abu Aslam menghantar sms : “..jika awal sikit, singgah rumah sekejap, lihat Maha Kuasanya Allah”. Ketika itu saya masih di rumah, hendak keluar ke Masjid Negeri Sabah.

Selepas isyak, dari Masjid Negeri Sabah saya singgah menjemput Ustaz Azam untuk menghadiri usrah di rumah sahabat di Sepanggar. Hampir jam 9, Abu Aslam ada menghubungi melalui telefon bimbit, tapi kurang jelas. Hanya saya jelaskan kami akan singgah di sana. Niat saya hendak menziarahi bapanya yang sudah lama terlantar sakit.

Jam 9.15 malam kami tiba di rumahnya di Ujana Kingfisher. Saya bertanya tentang bapanya yang berumur lebih 100 tahun itu. Saya pernah berjumpa dengannya beberapa kali, khususnya di Kg Tamau Kota Belud. Tiap kali berziarah ke kampung tersebut, rumah itulah tujuan kami. Makan minum dan berehat di sana.

Saya masih ingat, hampir setiap kali pulang dari berziarah, kami biasanya bersalam erat, dia selalu mendoakan dan bertanya bila pula akan bertemu lagi. Kadang-kadang perpisahan itu diakhiri dengan air matanya mengalir, seolah-olah kami ini bagai anak dan cucunya.

Kali pertama berziarah di rumah dan kampung tersebut ialah pada JULAI 2000 dan kali terakhir pada JULAI 2009. Malam ini, 26 JULAI, saat umat Islam menyambut Nisfu Sya’ban, Tuan Haji Barabag @ Abdullah kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang tenang dan sempat menunaikan solat isyak di pembaringannya, bukan di Kg Tamau tapi di Taman Ujana Kingfisher, Likas.

Rupanya saat Abu Aslam menghubungi saya hampir jam 9 tadi itulah bapanya baru kembali ke rahmatullah. Katanya, itulah maksud sms yang meminta saya singgah melihat kuasa Allah SWT.

Saya mensyukuri nikmat persaudaraan dan persahabatan apabila melihat dalam tempoh sejam selepas pemergian, hampir kesemua sahabat-sahabat ahli usrah sudah tiba memenuhi rumah tersebut dan menghulurkan bantuan segera seperti mengemaskini rumah dan mengangkat jenazah ke ruang tamu bagi memudahkan orang ramai berziarah.

Persetujuan dicapai, jenazah dimandi dan dikafan sebelum subuh sementara solat jenazah di Masjid Kg Bangka-Bangka selepas solat subuh. Jenazah dibawa ke Kg Tamau Kota Belud selepas itu. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatas Allahyarham dan memberikan kesabaran ke atas seluruh anggota keluarganya. Insya Allah, Allahyarham meninggalkan keturunan yang baik dan beramal soleh untuk perjuangan agama ini. Al-Fatihah.

Saya menyokong kempen ini. Hari isnin tanpa beg plastik.

Ia bermakna pada hari isnin, jika kita membeli belah di mana-mana premis yang menyertai kempen ini, beg plastik tidak lagi diberikan secara percuma. Setiap beg plastik akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen. Jumlah wang yang dikumpul akan diserahkan kepada Pusat Tindakan Alam Sekitar (EAC) untuk menjalankan projek alam sekitar dan kebersihan.

Tapi saya ada sedikit pandangan.

Hari ini saya membeli sedikit barangan di sebuah pasaraya di Putatan. Saya maklum akan kempen ini. Juruwang yang bertugas bertanya, “ada bawa beg sendiri?” “Tiada”. “Setiap beg plastik kena bayar 20 sen ya..”, katanya.

Saya merungut sendirian. Saya faham bahawa kutipan duit itu akan dimanfaatkan. Tapi alangkah baiknya jika gantinya bukan beg plastik. Kenapa tidak beg yang bukan plastik? Kata kempen tanpa beg plastik, jadi sepatutnya jangan beg plastik yang dikenakan 20 sen. Juallah beg kertas atau beg kain dan sebagainya dengan harga yang sama.

Tidak pasal-pasal saya berleter dengan wanita itu. Hihihi.

%d bloggers like this: