Malam ini saya menyambung kembali kuliah kitab al-Azkar Imam Nawawi di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru setelah tertangguh beberapa minggu.

Beberapa bulan sebelum ini pula kami membincangkan tentang nama-nama Allah yang indah (asmaul husna) menggunakan kitab yang disusun oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz. Memang dalam kitab al-Azkar ini ada disentuh secara ringkas melalui sebuah hadith akan nama-nama Allah yang 99 itu. Jadi untuk menghuraikannya, saya menggunakan kitab lain.

Malam ini tajuknya berkenaan tilawah al-Quran. Sangat menakjubkan apabila Imam Nawawi RH mencatatkan bahawa menjadi amalan salafus soleh terdahulu akan khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua bulan.

Membaca al-Quran adalah zikir yang paling utama sesuai dengan kedudukannya sebagai kalam Allah SWT. Lebih bermakna lagi apabila tilawah al-Quran itu diiringi dengan tadabbur dan adab-adab yang tinggi. Membaca al-Quran dituntut siang dan malam, ketika musafir atau tidak.

Para salafus soleh menjadikan al-Quran sebagai teman sehariannya, bagaimanapun kebiasaan khatam mereka berbeza menurut kemampuan masing-masing. Ada yang khatam sekali dalam tempoh dua bulan; ada yang sekali dalam sebulan; ada yang sekali dalam sepuluh hari; ada yang sekali dalam lapan hari; ada yang sekali dalam seminggu dan inilah amalan kebanyakan mereka.

Ada juga yang khatam sekali dalam tempoh enam malam; ada yang sekali dalam lima hari; ada yang sekali dalam empat hari; ada yang sekali dalam tiga hari; dan ramai juga yang khatam setiap hari. Ada pula yang khatam dua kali sehari, ada yang tiga kali khatam sehari; ada juga yang khatam lapan kali sehari – empat kali siang dan empat kali waktu malam. Menurut Imam Nawawi, inilah rekod yang sampai ke dalam pengtetahuannya.

Seorang Tabi’in bernama Mansur bin Zazan mengkhatamkan al-Quran antara zuhur dan asar, khatam lagi antara maghrib dan isyak. Sementara dalam bulan Ramadhan, dikhatamkan al-Quran dua kali antara maghrib dan isyak dalam keadaan mereka melewatkan solat isyak sehingga seperempat malam.

Ada juga yang khatam al-Quran dalam satu rakaat solat. Antaranya ialah Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim ad-Dariy dan Said bin Jubair R.Anhum. Hakikatnya kebolehan mereka adalah berbeza menurut individu masing-masing. Ada yang mempunyai pemikiran yang cerdas dan dalam masa yang sama kurang terlibat dalam urusan masyarakat seperti mengajar dan memerintah.

Namun, marilah kita mengambil pengajaran agar sama-sama memperbanyakkan tilawah al-Quran dan mentadabburkannya dalam kehidupan kita masing-masing.