Daripada Abdullah bin Umar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Ada seorang perempuan disiksa kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga kucing itu mati. Wanita itu masuk ke dalam neraka. Dia tidak memberi makanan dan minuman ketika ia mengurung kucing itu. Dia juga tidak suka melepaskan kucing itu untuk bebas memakan serangga kecil yang melata di bumi” (HR Bukhari dan Muslim)

Kucing adalah salah satu daripada haiwan yang suka hidup berdekatan dengan manusia. Ia banyak meminta belas kasihan orang untuk mendapatkan makanan. Sebaik-baiknya kita peruntukkan sedikit daripada makanan untuk diberikan kepadanya.

Jika kita tidak mahu memberinya makanan, biarkanlah ia hidup bebas untuk mencari makanannya sendiri. Sesungguhnya Allah SWT dengan rahmat dan kasih sayang-Nya telah menjamin rezeki seluruh binatang yang melata di bumi. Jangan ia dikurung tanpa sebarang makanan kerana itu adalah suatu kezaliman.

Jika berlaku zalim kepada kucing boleh menyebabkan seseorang memasuki pintu api neraka, maka cuba bayangkan betapa besarnya dosa dan kesalahan kalau penyeksaan dilakukan kepada sesama manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah SWT. Apatah lagi kalau penyiksaan dilakukan terhadap orang yang beriman dan bertaqwa.

Allah SWT telah mengharamkan berlaku zalim ke atas diri-Nya, maka Ia tidak akan menyiksa hamba-Nya tanpa kesalahan, dan Ia mengharamkan berlaku zalim ke atas sesama manusia. Oleh itu jangan berlaku zalim terhadap orang lain, jangan suka menyakitkan hatinya, jangan mengambil hartanya atau menjatuhkan harga dirinya.