Archive for 23 Julai 2010




Ketika berkuliah di Surau an-Nur Taman Limauan satu ketika dahulu, kami pernah membincangkan surah ini. Persaudaraan adalah satu nikmat yang hebat sekali. Bahkan pengisian utama selepas penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat muhajirin dari Makkah ke Madinah adalah mempersaudarakan orang Muhajirin dan Ansar.

Hari ini dalam khutbah Jumaat di Masjid Negeri Sabah, Ustaz Haji Abu Hurairah Abd Rahman menceritakan tentang nikmat persaudaraan. Bagi menjaga ukhuwah inilah maka Islam membuat beberapa batas dan adab pergaulan.

Di dalam surah al-Hujurat, terdapat perintah dan larangan berkenaan persaudaraan. Ada yang berkait terhadap diri Rasulullah SAW sendiri, ada yang berkenaan sesama orang Islam, bahkan ada yang bersangkut dengan manusia keseluruhan.

Terhadap diri Rasulullah, kita dilarang meninggikan suara, mendahului Rasulullah SAW dalam soal hukum hakam seperti mengatakan hukum hakam tertentu padahal kita tidak mengetahui hujung pangkal peraturan syariat Islam dan sebagainya.

Terhadap sesama orang beriman, perhatian diberikan agar jangan sembarangan mempercayai cerita sehingga diperiksa dan diselidiki kesahihannya, mendamaikan  dua golongan yang bertelingkah, tidak mengutuk, mencerca, mengintai, menggelar dengan gelaran buruk, berbaik sangka dan sebagainya.

Terhadap manusia keseluruhannya, kita disuruh saling berkenalan dan bekerjasama dalam soal kebaikan yang disepakati. Namun demikian, perbezaan pangkat, keturunan, harta dan sebagainya tidak dinilai sedikitpun oleh Allah SWT melainkan ia bertaqwa kepada-Nya.

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Muhd Kamil Ibrahim

Penerbit : PTS Islamika

Harga : RM29.00 / RM32.00

Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman bukan semata-mata catatan pengembaraan insan yang menunaikan fardu haji yang merujuk pada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman dan tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui kehidupan rutin manusia.

Penulis melakarkan pelbagai persoalan asas dalam kehidupan seorang Muslim. Kepercayaan kepada Penciptanya, tetapi terdesak dengan kejahilan diri yang sememangnya dimiliki oleh jutaan masyarakat Islam yang lain menyebabkan dia mencari jawapan kepada persoalan yang merunsingkan. buku ini membawa pembaca mengenali diri sendiri dan bersedia melakukan perubahan besar dalam hidup mereka.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyakarat terutama mereka yang tercari-cari buku motivasi agama dan panduan ibadah yang ditulis secara santai dan bersahaja. Bagi mereka yang bakal dan berpengalaman menunaikan fardu haji mendapati buku ini mempunyai nilai yang tersendiri. Ia mempunyai kemampuan yang luar biasa.

Muhd Kamil Ibrahim adalah Profesor Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau banyak menghasilkan karya seperti PhD: Kecil tapi Signifikan, Ibrahim Shah: Menyingkap Pengurusan Universiti, Motivasi Minda Pelajar, Pelajar Cemerlang dan Motivasi Remaja. Beliau juga menulis buku kepakaran seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia danCorporate Social Responsibility in Malaysia. Buku popular beliau adalah Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (2007) dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (2008) yang diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. Lebih 400 rencana juga diterbitkan dalam pelbagai media massa.

Dari web pts.com.my.


***

Ini adalah edisi kemas kini. Ada sedikit tambahan catatan dan gambar. Juga ada disertakan vcd ceramah beliau. Bahkan saya pernah mendengar ceramah beliau di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan lebih setahun lalu.

Saya cadangkan buku ini dijadikan hadiah kepada golongan atas dan menengah yang degil terhadap tuntutan agama ini. Semoga Allah memberi hidayah istiqamah ke atas Dr Muhd Kamil Ibrahim. Dapatkan buku ini di Pustaka Aslam.

%d bloggers like this: