Malam ini saya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Wakaf Masjid Daerah Penampang. Saya melihat kesungguhan JK ini dalam berusaha merealisasikan cita-cita dakwah ini tercapai. JK ini terdiri daripada NGO’s Islam, wakil penduduk Islam Penampang, korporat, peguam, pendidik dan sebagainya.

Alhamdulillah, setahu saya JK ini menepati sasaran mesyuarat setiap bulan bagi mengetahui perkembangan semasa khususnya kerja-kerja promosi dan kutipan wakaf.

Meski saya tidak dapat menyertai setiap mesyuarat kerana pertembungan acara dan program, namun rakan-rakan tetap memaklumkan perkembangan semasanya. Dalam catatan lalu, saya pernah memberitahu bahawa harga semasa tanah ini lebih daripada RM1 juta. Namun tuan tanah begitu baik hati dengan hanya menjual dengan harga diskaun lebih 40 peratus.

Kami dimaklumkan kutipan setakat ini baru lebih RM200 ribu. Untuk bayaran tanah sahaja, kita memerlukan lebih RM300 lagi dengan kadar segera. Kami memohon bantuan umat Islam yang prihatin untuk sama-sama mempromosi cita-cita murni ini dengan menyebarluaskan maklumat kepada ahli keluarga dan kawan-kawan di mana juga berada.

Kami turut mengalu-alukan dan berbesar hati jika jabatan, pejabat, syarikat, agensi, sekolah,  JK masjid dan surau, persatuan, kelab atau mana-mana kumpulan tuan-tuan dan puan-puan berhasrat menjemput wakil kami mengadakan sesi penerangan berkenaan pembinaan masjid ini. Saya sendiri menerima beberapa undangan untuk bercakap berkenaan hal ini. JK kami bersedia untuk hadir.

Jiran tetangga, rakan sepejabat, keluarga di kampung dan di bandar, kenalan siber seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya. Jika ada kenalan di luar negara, sila maklumkan kepada mereka akan permohonan ini. Selepas urusan tanah selesai, proses seterusnya ialah pembinaan masjid dan kompleksnya pula. Masjid ini menjadi harapan semua agar menjadi pusat hentian bagi perkembangan dakwah umat Islam di Penampang dan Kota Kinabalu.

Insya Allah dalam bulan ramadhan, JK ini akan mengadakan satu himpunan berkenaan Wakaf Masjid Penampang. Ia akan mendedahkan berkenaan kepentingan institusi masjid, institusi wakaf dan menuntut umat Islam untuk turut serta membantu menegakkannya.

Borang waqaf boleh dimuat-turun dengan meng’klik’ foto Waqaf Masjid Penampang di sisi kanan blog ini.