Dalam usrah, kita diajar rukun atau prinsip asas usrah yang tiga itu, ta’aruf, tafahum dan ta’awun – saling mengenali, saling memahami dan saling bekerjasama. Bagi yang mengaji bahasa Arab, ketiga-tiga ungkapan itu terbina atas dasar musyarakah, ertinya ‘saling’ dan ada interaksi sekurang-kurangnya dua hala.

Tidak patut hanya dia kenal aku sedangkan aku tidak kenal dia, tidak patut hanya dia memahami aku sedang aku tidak memahami dia dan tidak patut hanya dia menolong aku sedang aku tidak menolong dia. Ia mesti dua hala.

Dalam rukun pertama, kita kadang-kadang merasa sudah kenal sahabat kita. Namun yang kita kenal hanya namanya, rumahnya di mana. Tidak lebih. Bahkan kadang-kadang kita tidak tahu profesyen sahabat kita. Apa bidang pengajiannya, kesukaan dan kegemarannya, jauh sekali kesusahan dan masalahnya. Hakikatnya kalau masalah taaruf tidak selesai, mana mungkin akan sampai kepada rukun kedua dan ketiga.

Saya mencatat ini kerana merasa sesal sendiri. Bukan menyesali pemergian Ustaz Nahar ke pangkuan Allah SWT kerana kita semua akan kembali juga satu hari nanti. Sesal kerana mengakui Ustaz Nahar ahli usrah namun banyak perkara asas tidak saya ketahui tentang dia.

Sesudah pemergiannya, barulah saya tahu bahawa bidang pengkhususannya melalui Kuliah Syariah ialah bidang Feqh wa Ushul. Barulah saya perasan selepas itu, apabila mengingat kembali ketika beliau sering memberi kami tazkirah kepada staf masjid satu ketika dahulu, beliau gemar mengungkap istilah-istilah fekah untuk menyelesaikan masalah hukum. Rupanya inilah kemahirannya.

Timbul dua resolusi dalam usrah kami malam ini. Pertama, setiap ahli usrah dan isteri dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dengan kadar segera dan kemudiannya dimaklumkan di dalam usrah akan kualiti kesihatan masing-masing.

Satu segi, dengan mengetahui tahap dan rekod kesihatan sahabat, kita pasti akan lebih prihatin dan sensitif dengan dirinya. Contohnya dalam soal menghidang makanan yang dia tidak berpantang, gurauan yang tidak berlebihan yang mungkin menyebabkan dia terkena serangan jantung dan sebagainya.

Resolusi kedua, kami akan memulakan kembali taaruf dalam usrah akan datang. Setiap minggu seorang ahli akan kembali menceritakan tentang dirinya. Bukan setakat nama, asal, umur, bahkan lebih daripada itu. Tidak patut rasanya usrah yang sudah berjalan bertahun-tahun lamanya, tapi tahap pengetahuan terhadap sahabatnya masih cetek dan terlalu sedikit.

Rakan-rakan dalam kumpulan usrah lain mungkin boleh berkongsi idea ini. Kalau ada idea lain, mungkin boleh dikongsi bersama.