Archive for 19 Julai 2010


KUKUHKAN USRAH

Dalam usrah, kita diajar rukun atau prinsip asas usrah yang tiga itu, ta’aruf, tafahum dan ta’awun – saling mengenali, saling memahami dan saling bekerjasama. Bagi yang mengaji bahasa Arab, ketiga-tiga ungkapan itu terbina atas dasar musyarakah, ertinya ‘saling’ dan ada interaksi sekurang-kurangnya dua hala.

Tidak patut hanya dia kenal aku sedangkan aku tidak kenal dia, tidak patut hanya dia memahami aku sedang aku tidak memahami dia dan tidak patut hanya dia menolong aku sedang aku tidak menolong dia. Ia mesti dua hala.

Dalam rukun pertama, kita kadang-kadang merasa sudah kenal sahabat kita. Namun yang kita kenal hanya namanya, rumahnya di mana. Tidak lebih. Bahkan kadang-kadang kita tidak tahu profesyen sahabat kita. Apa bidang pengajiannya, kesukaan dan kegemarannya, jauh sekali kesusahan dan masalahnya. Hakikatnya kalau masalah taaruf tidak selesai, mana mungkin akan sampai kepada rukun kedua dan ketiga.

Saya mencatat ini kerana merasa sesal sendiri. Bukan menyesali pemergian Ustaz Nahar ke pangkuan Allah SWT kerana kita semua akan kembali juga satu hari nanti. Sesal kerana mengakui Ustaz Nahar ahli usrah namun banyak perkara asas tidak saya ketahui tentang dia.

Sesudah pemergiannya, barulah saya tahu bahawa bidang pengkhususannya melalui Kuliah Syariah ialah bidang Feqh wa Ushul. Barulah saya perasan selepas itu, apabila mengingat kembali ketika beliau sering memberi kami tazkirah kepada staf masjid satu ketika dahulu, beliau gemar mengungkap istilah-istilah fekah untuk menyelesaikan masalah hukum. Rupanya inilah kemahirannya.

Timbul dua resolusi dalam usrah kami malam ini. Pertama, setiap ahli usrah dan isteri dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dengan kadar segera dan kemudiannya dimaklumkan di dalam usrah akan kualiti kesihatan masing-masing.

Satu segi, dengan mengetahui tahap dan rekod kesihatan sahabat, kita pasti akan lebih prihatin dan sensitif dengan dirinya. Contohnya dalam soal menghidang makanan yang dia tidak berpantang, gurauan yang tidak berlebihan yang mungkin menyebabkan dia terkena serangan jantung dan sebagainya.

Resolusi kedua, kami akan memulakan kembali taaruf dalam usrah akan datang. Setiap minggu seorang ahli akan kembali menceritakan tentang dirinya. Bukan setakat nama, asal, umur, bahkan lebih daripada itu. Tidak patut rasanya usrah yang sudah berjalan bertahun-tahun lamanya, tapi tahap pengetahuan terhadap sahabatnya masih cetek dan terlalu sedikit.

Rakan-rakan dalam kumpulan usrah lain mungkin boleh berkongsi idea ini. Kalau ada idea lain, mungkin boleh dikongsi bersama.

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Abdul Latip Talib

Penerbit : PTS Litera

Harga : RM24.00 / RM27.00

Imam Hanbali digelar Al-Hakam kerana dapat menghafaz lebih 700,000 hadis dan berpengetahuan mendalam mengenai ilmu hadis. Melayakkan beliau mengeluarkan fatwa dalam hukum Fikah. Imam Hanbali juga seorang yang sangat kuat beribadat, beliau sembahyang sunat 300 rakaat sehari semalam dan khatam Al-Quran seminggu sekali.

Beliau sangat menghormati guru-gurunya. Ketika Imam Syafie menziarahinya di rumah, beliau segera bangun mengemaskan diri, menyambut kedatangan gurunya lalu diberikan tempat duduk yang tinggi sementara dia duduk di bawah. Imam Hanbali tTidak gemar bergurau senda, lebih suka mendiamkan diri dan berfikir. Bercakap apabila menjawab soalan mengenai hukum agama. Suka bergaul dengan orang-orang miskin dan kurang bergaul dengan orang kaya dan orang-orang berpangkat.

Khalifah Harun Ar-Rasyid pernah bertanya kepada Imam Syafie tentang orang yang layak menjadi Kadi di Yaman. Imam Syafie mencadangkan muridnya Imam Ahmad. Apabila Imam Ahmad Mengunjungi Imam Syafie, beliau ditawarkan dengan jawatan tersebut tetapi ditolaknya dengan berkata “Saya datang menemui tuan bukan untuk mendapatkan jawatan daripada khalifah”.

Imam Hanbali terkenal dengan sikap pemurah. Jirannya pernah memberinya sepinggan anggur dibalasnya dengan gula, garam dan beberapa pinggan buah-buahan. Semasa pemerintahan Khalifah Al-Makmum bin Harun Ar-Rasyid, khalifah menganut fahaman Muktazilah yang berpendapat Al-Quran itu makhluk yang bersifat baharu.

Baginda memaksa ulama-ulama menerima pendapat itu tetapi Imam Hanbali menentangnya dengan mengatakan Quran itu kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhamad melalui malaikat Jibrail. Akibat penentangannya itu Imam Hanbali ditangkap lalu dipenjara kemudian disebat dengan rotan dalam memaksanya tunduk kepada fahaman Muktazilah. Beliau disebat dengan rotan sehingga kulitnya mengelupas dan keluar darah.

Setelah khalifah Al Makmun meninggal dunia diganti khalifah Al Muktasyim. Beliau terus memenjarakan Imam Hanbali kerana melindungi fahaman Muktazilah. Sehinggalah Khalifah Al-Mutawakkil yang menganut mazhab Ahli sunnah wal jamaah berkuasa barulah Imam Hanbali dibebaskan. Dalam usaha memujuk Imam Hanbali Khalifah Al-Mutawakkil menghadiahkan 10,000 dirham. Wang itu diambilnya tetapi kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin.

Pada hari-hari tuanya Imam Hanbali menjadi tempat rujukan orang ramai khususnya di Baghdad. Dalam menentapkan hukum beliau lebih mengutamakan Al-Quran dan As-Sunnah dan pendapat para sahabat Rasulullah. Imam Hanbali meninggal dunia pada pagi hari Jumaat 12 Rabiul Awal tahun 241 hijrah bersamaan 855 masihi ketika berusia 77 tahun dan dikebumikan di Baghdad.

Dipetik dari Web pts.com.my.

%d bloggers like this: