Archive for 18 Julai 2010



Hari ini saya ke Labuan. Menghadiri perkahwinan sepupu di Perumahan Rumah Murah Kg Batu Arang. Saya bertolak dengan kereta sendiri jam 8.45 pagi dan tiba di Menumbok 2 jam kemudian. Naik bot laju dan tiba di terminal 11.30 pagi. Sebelum jam 12 tengahari saya sudah berada di rumah pengantin.

Asalnya saya tidak berhajat untuk pulang. Puncanya kerana dua anak – Hana & Abdul Hadi terlibat dalam Sukaneka PASTI Putatan di Pantai Tanjung Aru Kota Kinabalu. Sukaneka tersebut dirasmikan oleh YB Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib, Ahli Parlimen Baling Kedah.

Namun semalam, pada sabtu hati saya tiba-tiba kuat untuk balik biarpun sebentar. Tidak lama, habis majlis perkahwinan sekitar jam 1.30 saya minta hantar balik ke terminal.

Sepanjang perjalanan, khususnya dari Beaufort ke Papar, hati saya cukup bimbang dengan hujan yang sangat lebat. Saya melihat juga dua kemalangan jalanraya, barangkali akibat jalan licin dan pemandangan yang kabur. Mata agak sulit melihat jalan kerana jarak pemandangan yang sempit. Alhamdulillah, kira-kira 4.30 petang saya sudah berada di rumah.

Setiba di rumah, anak-anak tidur ‘berkelamparan’. Mesti letih, agak saya. Hanya Hana yang sudah bangun daripada lenanya. Dia bingkas membawa dua piala yang dimenangi olehnya dan sebuah lagi diperolehi Abdul Hadi.

Bermacam-macam cerita lucu saya dengar tentang sukaneka mereka hari ini.  Melihat foto-foto yang dirakam oleh Ummu Nuha hari ini membuatkan saya ketawa melihat aksi dan gelagat anak-anak dan juga anak-anak sahabat. Sungguh nikmat mempunyai anak, justeru mereka adalah penghibur hati kami berdua.

Tidak berdaya saya untuk mengulas panjang kerana saya tidak berada di lokasi. Namun bagi saya, selain merapatkan ukhuwah sesama ibu bapa, penganjur dan anak-anak PASTI, untuk anak-anak ini ia lebih kepada memupuk bakat, keberanian dan potensi yang ada pada diri mereka melalui aktiviti sukaneka yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

Tahniah kepada semua yang terlibat khususnya PASTI Kawasan Putatan yang berusaha bersungguh-sungguh sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengatur sukaneka berkenaan. Penghargaan juga buat semua guru-guru PASTI – PASTI al-Aqsa Taman Limauan, PASTI al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi, PASTI Nor Fathonah Taman Pasir Putih Putatan, PASTI ar-Raihan Kg Sri Pandan, PASTI Nur Hidayah Tanjung Aru, PASTI al-Amal Kg Likas, PASTI al-Hikmah Taman Sempelang dan lain-lain.

Foto lain menyusul…


Ini penampilan pertama saya hadir dan mengisi program di Kolej PTPL. Kolej ini khabarnya sudah menjangkau 10 tahun dan kini beroperasi di blok A, KUWASA. Program yang saya hadiri ini namanya Program Jom Ibadah anjuran Kelab Modal Insan kolej berkenaan.

Seramai 50 peserta menyertai program ini yang bermula sejak petang jumaat. Selain saya, turut terlibat dalam mengisi program ialah Ustaz Shahir Ismail dari IPG Gaya. Tajuk yang diminta saya sampaikan ialah Klinik Wudhu’, Solat & Hikmah Pergerakan.

Dalam suasana santai dan relaks – kerana ceramah di hadapan orang muda dan belia, saya melihat sebahagian besar mereka tetap ada kesedaran berikutan soalan dan pertanyaan yang bertubi-tubi terpaksa saya jawab. Kami juga bersama-sama membaca bacaan-bacaan dalam solat seperti doa iftitah, qunut, fatihah, tasyahhud dan sebagainya.

Saya gembira dapat bersama-sama mereka, dan terasa singkatnya masa. Insya Allah jika diundang, saya tidak akan melepaskan peluang untuk bersama mereka lagi. Terima kasih Cik Norbety Ramli yang mengundang, dan juga kepada pengetua yang baik hati dan semua peserta yang kelihatannya gembira dengan program ini.


%d bloggers like this: