Archive for 17 Julai 2010



Dua malam terakhir tadarrus di rumah Allahyarham Ustaz Haji Nahar dihadiri ramai sahabat-sahabat dan kenalan. Ada rakan-rakan guru membawa pelajar sekolah masing-masing.

Saya turut membawa siswa-siswi Maahad Tahfiz untuk membantu tadarrus dan menziarahi keluarga Allahyarham. Malam terakhir saya bawa 5 orang pelajar akhawat sedangkan malam sebelumnya lima orang pelajar ikhwah.

Malam kedua terakhir, setelah tadarrus saya diminta menyampaikan tazkirah berkenaan Allahyarham. Terkedu seketika kerana sebahagiannya sudah saya luahkan melalui blog ini. Hanya beberapa hadith dan ibrah daripada kisah Imam Ahmad bin Hambal yang menjadi pengajaran semua agar semua yang hadir dapat mempertahankan kebenaran walau digugat oleh musuh di kiri dan kanan.

Malam terakhir tazkirah ringkas disampaikan oleh Tuan Haji Khairan Untoh selaku Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, di mana Allahyarham adalah Naib Pengerusinya di Sabah. Tidak dapat dinafikan Ustaz Nahar antara aktivis yang memeriahkan gerak kerja Yayasan Amal di Sabah.

Di hujung majlis, pihak Yayasan Amal Malaysia menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham yang diterima oleh anak sulung, Nasyraf Ideen bagi pihak keluarganya.

Sahabat-sahabat yang berkelebihan dan bersimpati juga boleh menyampaikan sumbangan terus ke akaun bersama Bank Islam Malaysia Berhad atas nama  Nashraf Ideen bin Nahar dan Norsidah binti Daris di nombor akaun : 100 160 202 535 15


Semalam saya berkhutbah di sini. Ini masjid yang menjadi kenangan baik buat kami pelajar Maahad Tahfiz. Di sini kami banyak dilatih dan diuji kebolehan. Di masjid ini saya pertama kali menjadi imam solat tarawih, berkhutbah dan diambil markah kerana subjek khutbah merupakan salah satu pelajaran.

Kenangan lebih 10 tahun itu lebih bermakna dengan ramainya di kalangan jamaah itu menjadi kenalan baik kami sehingga sekarang. Jadi apabila guru kami Ustaz Haji Ghazali Sulaiman meminta saya menggantinya sebagai khatib, agak sukar saya menolaknya.

Khutbah kali ini saya petik dari JAKIM dan JHEAINS. Jarang sekali saya menggunakan teks orang lain. Namun apabila saya teliti, amat sesuai dengan jiwa saya dan sesuai dengan suasana ketika ini. Tajuknya berkaitan dengan kematian. Hanya dihujung sedikit saya edit dan tambah berkenaan Allahyarham Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin. Sebak dan pilu terkenang ustaz ketika khutbah berkenaan.

%d bloggers like this: