Sahabat, rakan, guru yang dikasihi Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin, 43 tahun, mantan Imam Besar Masjid Negeri meninggal dunia pagi tadi.

Janazah beliau baru sahaja dibawa pulang dari Bangunan Sabah Medical Centre (SMC) jam 1 tengahari tadi dan kini berada di rumahnya di Kampung Likas.

Saat tadi (dan sekarang), ribuan sahabat handai, pegawai-pegawai kerajaan, rakan-rakan sekerja di JHEAINS, jamaah Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya dan Masjid Kg Likas, pendukung dan penyokong PAS dan UMNO menziarahi Allahyarham.

Allahyarham adalah lulusan Universiti Jordan Amman dengan mengambil Kuliah Syariah Pengkhususan Fiqh dan Usul sekitar tahun 1995 – 2001. Terdahulu beliau juga pernah belajar di Syria dan kembali ketika Perang Teluk.

Di JHEAINS, beliau pernah bertugas di Bahagian Dakwah, sebelum dipindahkan ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar antara tahun hingga Mei 2006 Oktober 2008. Jawatan terakhir beliau ialah Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Wilayah & Masjid.

Beliau seorang yang sangat aktif dalam dunia dakwah khususnya di Sabah. Pelbagai usaha telah dijalankan beliau sepanjang hayatnya. Tidak keterlaluan saya menyebut bahawa umat Islam di Sabah kehilangan sebutir permata yang bernilai.

Insya Allah Allahyarham akan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kg Likas pagi esok. Umat Islam dijemput hadir. Dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Allahyarham. Al-Fatihah.

Nota : Dengarlah suara beliau membaca doa melalui corong radio Sabah FM setiap kali selesai azan dikumandangkan.

Catatan lanjut menyusul.

Advertisements