Mesyuarat kali ini diadakan di Hotel Quality, Jalan Raja Laut. Ini kali kedua mesyuarat penyemakan tahun ini, kali pertama tempohari pada bulan April di Hotel UNITEN Bangi. Ini juga kali kedua mesyuarat diadakan di sini sepanjang penyertaan saya, kali pertama rasanya dua tahun lalu.

Kami tiba semalam. Seperti kedatangan kami pada april lalu, nampaknya kami memulakan persinggahan di Restoran Saba’  Cyberjaya,  menjamu selera menu Timur Tengah. Nasi daging kambing menjadi pilihan dengan jus mangga berharga RM20 seorang. Boleh tahan. Kalau hari-hari begini tambah botak kepala.

Sejak awal saya menjangka bahan untuk disemak kali ini lebih banyak daripada biasa kerana lajnah ini agak terlewat bermesyuarat berbanding tempoh sepatutnya. Sudah tentu banyak lambakan permohonan pelanggan untuk meminta bahan mereka disemak oleh pihak KDN.

Pada awal taklimat semalam, dijangkakan setiap ahli mesyuarat akan menyemak lebih 50 juzu’ seorang dan mesti diselesaikan selewat-lewatnya pada pagi ahad. Mesyuarat pembukaan dipengerusikan oleh Dato’ Syeikh Mohammad Nor Mansur al-Hafiz dan dihadiri 32 ahli.

Ada keistimewaan mesyuarat kali ini. Kami dimaklumkan al-Quran Braille ada dalam senarai untuk disahkan ketepatannya. Khabarnya, inilah kali pertama al-Quran Braille dihantar untuk disemak kepada lajnah ini.

Petang semalam sebaik tiba dan petang tadi dalam keadaan sibuk, saya mencelah keluar ke Pertama Kompleks. Kali ini lebih RM500 habis untuk membeli buku terbitan baru pelbagai tajuk. Saya cuba membaca satu demi satu dan akan saya susulkan sinopsis dan ulasannya dalam artikel mendatang.