Archive for 9 Julai 2010


AL-QURAN BRAILLE


Barangkali ia satu catatan istimewa buat kami Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila terdapat permohonan semakan al-Quran Braille 30 juzu’ oleh Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Pada awalnya, saya hairan juga memikirkan bagaimana cara menyemak tulisan braille yang hanya berbentuk titik-titik yang ditebuk itu. Melihat pula teksnya yang begitu tebal, siapa pula hendak menyemak dan membetulkan al-Quran berkenaan jika terdapat kesalahan.

Tidak lama, kami dimaklumkan kehadiran lima orang pelajar Darul Quran cacat penglihatan (tapi celik hatinya), yang akan ditugaskan membantu penyemakan al-Quran Braille ini.  Ahmad Qusairi Mat Zizi, Abdul Majid Md Yusuff, Wan Md Fadhil Wan Fauzi, Mohd Azhar Baharom dan Mohd Firdaus Hairi.

Qusairy berasal dari Pasir Puteh Kelantan, Abdul Majid dari Kuala Krai, Fadhil dari Kota Bharu, Azhar dari Taiping dan Firdaus dari Pelabuhan Kelang. Kesemua mereka baru menghafaz al-Quran antara tiga hingga sepuluh juzu’ dan memahami tulisan braille. Sedikit masa saya luangkan untuk bertanya punca sakit mereka. Ada yang bermula dengan demam panas, ada yang kerana saraf malam, glukoma iaitu masalah kilang air mata dan kanser mata.

Penyemakan al-Quran Braille ini dijalankan dengan pemantauan Ustaz Azhari Othman dan Ustaz Tahir Abdul Manaf yang juga kedua-duanya pensyarah di Darul Quran. Pelajar ini akan ‘meramas’ tulisan braille berkenaan dan membacanya, sementara Ustaz Azhari dan Ustaz Tahir akan mendengar dan mencatat kesalahan jika ada.

Mesyuarat kami telah memberi mandat kepada mereka untuk menyelesaikan dalam tempoh sebulan al-Quran Braille berkenaan kerana masa yang lama diperlukan untuk menyemak dan mengesahkan ketepatan tulisan berkenaan. Mudah-mudahan ini sebahagian sumbangan kecil untuk kemudahan mereka yang berkenaan membaca Kalam Allah SWT ini.

Sekalung tahniah juga kepada PERTIS atas usaha murni ini.



Mesyuarat kali ini diadakan di Hotel Quality, Jalan Raja Laut. Ini kali kedua mesyuarat penyemakan tahun ini, kali pertama tempohari pada bulan April di Hotel UNITEN Bangi. Ini juga kali kedua mesyuarat diadakan di sini sepanjang penyertaan saya, kali pertama rasanya dua tahun lalu.

Kami tiba semalam. Seperti kedatangan kami pada april lalu, nampaknya kami memulakan persinggahan di Restoran Saba’  Cyberjaya,  menjamu selera menu Timur Tengah. Nasi daging kambing menjadi pilihan dengan jus mangga berharga RM20 seorang. Boleh tahan. Kalau hari-hari begini tambah botak kepala.

Sejak awal saya menjangka bahan untuk disemak kali ini lebih banyak daripada biasa kerana lajnah ini agak terlewat bermesyuarat berbanding tempoh sepatutnya. Sudah tentu banyak lambakan permohonan pelanggan untuk meminta bahan mereka disemak oleh pihak KDN.

Pada awal taklimat semalam, dijangkakan setiap ahli mesyuarat akan menyemak lebih 50 juzu’ seorang dan mesti diselesaikan selewat-lewatnya pada pagi ahad. Mesyuarat pembukaan dipengerusikan oleh Dato’ Syeikh Mohammad Nor Mansur al-Hafiz dan dihadiri 32 ahli.

Ada keistimewaan mesyuarat kali ini. Kami dimaklumkan al-Quran Braille ada dalam senarai untuk disahkan ketepatannya. Khabarnya, inilah kali pertama al-Quran Braille dihantar untuk disemak kepada lajnah ini.

Petang semalam sebaik tiba dan petang tadi dalam keadaan sibuk, saya mencelah keluar ke Pertama Kompleks. Kali ini lebih RM500 habis untuk membeli buku terbitan baru pelbagai tajuk. Saya cuba membaca satu demi satu dan akan saya susulkan sinopsis dan ulasannya dalam artikel mendatang.


%d bloggers like this: