Alhamdulillah, isnin lalu saya bersama Ustaz Haji Abdul Rahman Talipuddin diamanahkan sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Peringkat 1 Divisyen di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi. MTQ berkenaan sebenarnya berlangsung dua hari, dengan hari kedua hanya majlis penutupan dan penyampaian hadiah.

Dua hakim dari JHEAINS, sementara dua orang lagi diatur oleh pihak penganjur. Walaupun rumah hanya berhadapan dengan kem, dan anak pula bersekolah di dalam, inilah penglibatan pertama saya dalam program mereka khususnya MTQ ini.

Seramai 12 peserta terlibat dari Sabah dan Sarawak. Ada kategori pegawai, kategori lain-lain pangkat (LLP), kategori qariah (isteri) dan kategori kanak-kanak.

Buat ustaz-ustaz di dalam, khususnya kapten Azlisham Abdul Aziz dan rakan-rakannya, terima kasih undangan dan hamper yang menjadi ‘habuan’ anak-anak. Yang penting hubungan sudah bermula, mudah-mudahan ada kesinambungan untuk berprogram selepas ini.

Malam itu saya siap membawa kamera ke dalam dewan, tapi bila mau merakam kenangan, rupanya kad memori pula tertinggal. Jadi terima kasihlah, beberapa keping foto yang diemel oleh rakan-rakan penganjur.