Sejak beberapa tahun kebelakangan, malam-malam saya hampir sentiasa penuh dengan program. Kuliah maghrib, kelas mengaji, mesyuarat, usrah, kuliah lepas isyak dan lain-lain. Kasihan melihat anak-anak kerana masa mereka bersama saya terlalu kurang.

Cuma sejak sebulan dua ini, saya sudah menamatkan kuliah di Surau Taman Limauan setiap ahad yang berlangsung sejak 3 tahun lalu. Saya begitu terasa sedikit kelapangan dan baru berpeluang melihat buku-buku dan kreativiti anak-anak bersama mereka.

Seminggu MTQ Kebangsaan di Kota Kinabalu, biasanya lewat tengah malam baru tiba di rumah dan anak-anak sudah tidur. Lucu mendengar cerita isteri, anak-anak menjerit melihat kelibat babahnya ke hulu ke hilir di Dewan Saadah Wisma MUIS lewat siaran langsung di TV1.

Malam isnin baru lalu, kami meluangkan masa makan di luar beramai-ramai bersama kedua mertua. Ia suatu amalan yang biasa kami buat beberapa tahun lalu, biasanya sebulan sekali. Namun ia terabai sejak 2-3 tahun kebelakangan, kerana saya sendiri kesuntukan masa manakala kalau terluang masa hujung minggu, saya lebih gemar berehat dan berkurung di rumah.

Restoran Prapeni Thai, Putatan menjadi pilihan kami. Dahulu ia dikenali dengan restoran D Pokok Ceri. Khabarnya pengurusan masih yang sama, hanya bertukar nama kerana konsep telah berbeza. Hanya di tepi jalan utama, sekitar 10 minit perjalanan dari rumah.

Saya biarkan mertua, isteri dan anak-anak memilih sendiri menu mereka. Tomyam seafood, daging merah dan ikan putih masak halia menjadi pilihan. Seronok dan syukur sekali melihat anak-anak berselera makan. Alhamdulillah.

Setiba di rumah hampir jam 11 malam, barulah saya teringat ada undangan lepas isyak di Sepanggar.