
1. Segala puji milik Allah SWT yang memberikan nikmat umur, nikmat kelapangan masa dan nikmat berkarya kepada saya sehingga blog Abu Nuha Corner mencapai ulangtahun keduanya hari ini.
2. Penghargaan yang tidak terhingga terhadap isteri yang dikasihi, Ummu Nuha yang memahami keadaan suaminya yang suka menulis khususnya di arena blog ini. Juga kepada anak-anak yang selalu mengusik dan menekan-nekan keybord laptop ini. Anakanda Nuha juga pada awalnya selalu kehairanan, “kenapalah banyak betul tulis Abu Nuha Corner?”, soalnya.
3. Terima kasih juga atas sokongan sahabat-sahabat yang menjadi pendukung setia dan pembaca tetap kepada blog ini. Juga kepada para pembaca yang dikenali atau tidak yang memberikan reaksi terhadap tulisan-tulisan di sini. Setakat yang saya ketahui, ada rakan-rakan pembaca tetap dari seluruh negara dari Perlis hingga ke Sabah, khususnya dari Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
4. Saya mendapati melalui tinjauan rambang, pembaca blog ini kebanyakannya adalah penjawat awam, khususnya di negeri Sabah dan juga di negeri-negeri lain. Begitu juga rakan-rakan pendakwah di seluruh negara, adik-adik dan rakan-rakan di Timur Tengah.
5. Terdapat juga jabatan-jabatan tertentu yang menjemput saya berceramah sempena perayaan hari kebesaran Islam, mendapat maklumat awal berkenaan saya melalui blog ini.
6. Terdapat sedikit tekanan sepertimana pernah saya ceritakan pada ulangtahun pertama dahulu dan tekanan itu masih berulang. Terdapat juga beberapa provokasi nakal yang cuba menyakat dan mengganggu blog ini melalui komentar mereka. Namun di pihak keselamatan terutama rakan-rakan yang ada di dalam sana, turut memberi sokongan bahkan mereka ramai-ramai membaca artikel yang ada. Teruskan, kata mereka.
7. Saya dimaklumkan, diantara pembaca tetap blog ini ialah beberapa pengarah dan pegawai tinggi jabatan kerajaan peringkat negeri dan persekutuan, para peguam sivil dan syariah, wartawan dan pengamal media kerajaan dan alternatif, guru-guru sekolah dan pensyarah universiti, siswa siswi pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara dan tidak ketinggalan pihak keselamatan.
8. Yang jelas, sebahagian besar pembaca blog ini adalah orang-orang muda yang mendominasi dunia siber, khususnya adik-adik di universiti yang sedang membina fikrah Islamiah dan idealisme perjuangan mereka.
9. Insya Allah, saya akan terus berkarya menurut kemampuan saya. Maklumlah akhir-akhir ini saya sering terlewat memasukkan bahan meskipun banyak cerita dan foto hendak dikongsi bersama.
10. Buat ‘pembubut’ maklumat blog ini, sebenarnya pengunjungnya tidaklah terlalu memberangsangkan jika dibanding pada tahun yang pertama. Hanya purata pengunjungnya sekitar 300-500 sehari. Turun dan naik kunjungan bergantung kepada isu yang dipaparkan dan hari-hari tertentu. Biasanya hujung minggu kunjungan sedikit berkurangan kecuali ada isu menarik menjadi carian ramai.
11. Buat masa ini saya masih mengekalkan tema dan niat asal blog ini diwujudkan, iaitu majoritinya menyiarkan catatan perjalanan khususnya program dakwah yang saya sertai. Hanya sesekali kisah kekeluargaan, sorotan isu semasa, dan lain-lain yang diselitkan. Terlalu jarang saya memaparkan artikel copy paste dari blog lain kecuali saya berminat untuk mengambil dan mengongsikan bersama.
12. Semoga kesempatan dan ruang masa masih menyebelahi saya untuk menulis, walaupun kadang-kadang agak keletihan kerana undangan yang mula meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan. Terima kasih atas sokongan semua. Saya sangat menghargainya.