Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) diumum sebagai johan Ekspo Pameran sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 baru-baru ini.

Tempat kedua dan ketiga ialah Pejabat Pilihanraya Negeri Sabah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah. Kesemua mereka mendapat plak, sijil penghargaan dan hamper.

Sempena MTQ Kebangsaan ini, Ekspo Pameran diadakan di tingkat 1 Wisma MUIS sepanjang 9 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang MTQ. Menurut JAKIM Sabah yang menjadi urusetia ekspo berkenaan, terdapat 64 peserta ekspo pameran terlibat dan hanya separuh menyertai  penilaian pameran.

Pihak urusetia ekspo juga mencatatkan lebih 10 ribu pengunjung direkodkan sepanjang lima hari pameran berkenaan. Dalam tempoh berkenaan juga diadakan hadiah-hadiah pengunjung bertuah. Hadiah utama pengunjung bertuah menerima tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa hujung bulan ini.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Haji Sukarti Wakiman dalam majlis ringkas di tingkat 1 Wisma MUIS pada jam 7.00 malam sebelum penutupan rasmi MTQ Kebangsaan. Turut hadir ialah isteri beliau, Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri A Suratman, Pengarah JAKIM Sabah Ustaz Aziz Muhammad dan ketua-ketua jabatan yang terlibat.