Kalau bukan kerana saya disibukkan sebagai urus setia, saya berhasrat sangat untuk membawa anak-anak menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Saadah Wisma MUIS. Khususnya kepada anak sulung yang sudah pandai membaca al-Quran, agar dia mendengar bacaan al-Quran yang indah dan merdu di khalayak yang ramai, mudah-mudahan akan meningkatkan semangat dan motivasi buat dirinya sendiri.

Saya agak cemburu dan bersyukur melihat kesedaran ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke majlis berkenaan, melatih anak cintakan majlis yang mulia seperti ini. Walaupun anak itu buat masa ini mungkin tidak mengerti tujuan dan maksud hadir ke sana, kerana hanya semata-mata ikut berjalan dan datang, insya Allah satu hari nanti mereka pasti mengerti.

Tahniah kepada ibu bapa yang bersabar dengan karenah dan ulah anak mereka serta tetap memupuk kesedaran mereka tentang ilmu al-Quran, buat permulaannya tentang kepentingan membaca dan membudayakan bacaan al-Quran.

Teringat pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya : Jika ada majlis yang menyebut nama Allah, hendaklah engkau duduk bersama-sama di dalamnya.

Kalau beginilah hari-hari anak-anak diperdengarkan al-Quran, nescaya mereka akan jatuh cinta kepada al-Quran, minat membaca dan menghafaznya. Sebagaimana ibu bapa hari ini yang semudahnya memperdengarkan lagu kepada anak-anak, mereka juga mudah mengingatinya.

Apa rupanya yang kita ingin anak kita ingati? Pilihlah antara jangan lupa lirik atau jangan lupa al-Quran.