Archive for 2 Julai 2010


MELENTUR BULUH


Kalau bukan kerana saya disibukkan sebagai urus setia, saya berhasrat sangat untuk membawa anak-anak menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Saadah Wisma MUIS. Khususnya kepada anak sulung yang sudah pandai membaca al-Quran, agar dia mendengar bacaan al-Quran yang indah dan merdu di khalayak yang ramai, mudah-mudahan akan meningkatkan semangat dan motivasi buat dirinya sendiri.

Saya agak cemburu dan bersyukur melihat kesedaran ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke majlis berkenaan, melatih anak cintakan majlis yang mulia seperti ini. Walaupun anak itu buat masa ini mungkin tidak mengerti tujuan dan maksud hadir ke sana, kerana hanya semata-mata ikut berjalan dan datang, insya Allah satu hari nanti mereka pasti mengerti.

Tahniah kepada ibu bapa yang bersabar dengan karenah dan ulah anak mereka serta tetap memupuk kesedaran mereka tentang ilmu al-Quran, buat permulaannya tentang kepentingan membaca dan membudayakan bacaan al-Quran.

Teringat pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya : Jika ada majlis yang menyebut nama Allah, hendaklah engkau duduk bersama-sama di dalamnya.

Kalau beginilah hari-hari anak-anak diperdengarkan al-Quran, nescaya mereka akan jatuh cinta kepada al-Quran, minat membaca dan menghafaznya. Sebagaimana ibu bapa hari ini yang semudahnya memperdengarkan lagu kepada anak-anak, mereka juga mudah mengingatinya.

Apa rupanya yang kita ingin anak kita ingati? Pilihlah antara jangan lupa lirik atau jangan lupa al-Quran.


Antara pemandangan yang saya suka melihat ketika MTQ yang berlangsung bahkan dalam mana-mana MTQ ialah apabila melihat tetamu yang hadir bersama-sama menyemak al-Quran masing-masing akan ayat yang dibaca oleh peserta.

Pada malam pertama, tidak ramai audien yang membawa al-Quran setakat yang saya perhatikan. Saya cuba mencari-cari sebenarnya untuk dibawakan contoh kepada masyarakat yang lain supaya tidaklah semata-mata mendengar tetapi turut sama menyemak.

Maklumlah, di layar atau di kaca tv bukan sepanjang masa tv akan memaparkan ayat al-Quran yang sedang dibaca bahkan biasanya berselang ganti dengan memaparkan orang ramai yang hadir.

Ketika malam pertama tempohari, saya ada berbisik kepada abang cameraman yang berada di sudut kiri dewan (kamera panjang tu) agar banyakkan mengambil pemandangan orang yang menyemak al-Quran, mudah-mudahan menjadi contoh kepada yang lain.

Jelas malam kedua bertambah. Malam ketiga bertambah lagi. Malam keempat semakin ramai membawa al-Quran.


%d bloggers like this: