Archive for Jun, 2010


BERKELAH

Suatu jumaat, dalam perjalanan mencari-cari masjid untuk menunaikan solat Jumaat, kami masuk dan keluar kampung. Seronok juga dapat macam-macam pemandangan.

Kebetulan bukan saya yang pandu, jadi mata saya galak mencari pemandangan menarik untuk dirakam dalam kamera.

Seronok nampaknya ‘mereka’ bersantai dan berkelah di tepi pantai yang cantik ini. Hendak turun, kami pula sedang menuju ke masjid berdekatan.



Kreatif juga stokis HPA yang saya temui ketika berada di Kota Bharu tempohari.

Sementara di Sabah HPA mula berkembang. Dengan faktor luar dan dalam yang pelbagai, maka para ejen atau stokis perniagaan berasaskan Islam ini perlu lebih kreatif lagi untuk menawan hati pengguna.

Bagus juga kalau ada program besar, bawa saja lori ini dan parkir tepi jalan di laluan orang ramai. Pasti mendapat perhatian.

PAKET NESCAFE COFFEEMIX


Saya dihadiahkan satu paket nescafe oleh seorang sahabat yang baru balik dari kunjungannya ke Acheh.

Katanya sebagai ole-ole dari seberang. Malam itu kami yang berzirah ke rumahnya masing-masing mendapat satu paket nescafe ini. Terima kasih atas paket yang istimewa.

Baru-baru ni saya diundang ke majlis kenduri kesyukuran seorang anggota polis. Saya diminta memimpin doa selamat atas hajat tuan rumah.

Kebanyakan yang hadir tidaklah saya kenali terutama pegawai-pegawai polis yang dipanggil ‘tuan’. Rumah sederhana itu penuh denganĀ  tetamu sebahagian besarnya pegawai-pegawai polis. Seingat saya, saya tidak pernah bertemu mereka, justeru nama mereka pun tidak saya tahu.

Oleh kerana tidak mengenali mereka, maka saya mengambil sikap banyak berdiam diri dan hanya mendengar sembang mereka.

Rancak makan nasi beryani campur sate yang memang sedap, begitu jugalah rancak sembang mereka. Mula-mula cerita tentang anak-anak, keluarga, kampung halaman, haji dan umrah. Kemudian melarat isu-isu semasa.

Cerita pembinaan istana negara yang beratus juta, ura-ura pembinaan bangunan parlimen yang baru, (dalam masa yang sama banyak bajet jabatan yang kena potong), barangan yang semakin mahal, cerita rasuah dan bermacam-macam lagi. Mereka benci dan sakit hati dengan sikap pemimpin dalam mengendali dan mengurus negara.

Bahkan mereka memuji pula pemerintahan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat. Seorang pegawai yang baik itu bercerita, dahulu di kampungnya jalan kecil berpuluh tahun tidak berturap. Tapi apabila bertukar kerajaan, jalan kampung yang sempit pun diberi kemudahan tar.

Yang menarik menerusi sembang mereka, dengan adanya BN dan PR, mereka dapat menyaksikan perbezaan yang ketara. Seorang daripada mereka mengakui tertarik dengan pemerintahan PR dan berjaya mengubah persepsi keluarga dan orang kampungnya terhadap kemampuan PR memerintah.

Malam makin lewat, cerita pula makin panas. Saya tetap menjadi pendengar yang setia. Boleh tahan juga abang-abang dan uncle-uncle polis ni.

HADIAH DARI ISTANBUL


Terima kasih kepada Ustaz Azam yang menghadiahkan kami kulit kambing berukir khat. Beliau bersama rombongan baru kembali dari menunaikan umrah.

Dari Madinah dan Makkah, mereka ke Jordan dan Syria beberapa hari seterusnya ke Istanbul beberapa hari berikutnya.

Terima kasih juga hadiah air zam-zam, kurma ajwah dan sehelai jubah untuk anakanda Abdul Hadi. Semoga Allah memberkati hidup Ustaz Azam sekeluarga.


Jumaat lalu saya diundang ke surau ini untuk menyampaikan khutbah.

Surau al-Bari’ Taman Ketiau baru sahaja mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat sejak April lalu. Demikian saya dimaklumkan oleh Ustaz Ali Abdullah, orang kuat surau berkenaan.

Surau ini kecil sahaja, tetapi pihak pengurusan menambah sedikit ruang dan atap di bahagian sayap kanan dan kiri surau. Saya memahami permohonan jumaat mereka memandangkan masjid terdekat iaitu Masjid Kg. Ketiau juga penuh sesak pada setiap jumaat sehingga melimpah keluar.

Doa saya semoga surau ini terus diimarahkan dengan aktiviti bermanfaat untuk umat Islam yang menjadi penduduk majoriti di taman ini.

Ramai orang sedih dan mengalirkan air mata apabila penyanyi pujaan terkeluar daripada saingan hiburan realiti tv. Ramai orang menangis dan tidak mampu melelapkan mata apabila pasukan pujaan tersingkir daripada kejohanan bola sepak.

Ramai ibu bapa berleter dan merotan anak yang tidak ke sekolah, tidak menghadiri kelas tambahan dan tuisyen. Mereka sanggup mengeluarkan wang yang banyak demi kejayaan akademik anak-anak.

Namun tiada yang bimbang kalau anak tidak tahu membaca al-Quran. Tiada yang sedih kalau anak tidak minat membaca al-Quran. Apabila berada di alam barzakh, baru kita ternanti-nanti kiriman bacaan al-Quran si anak, sedangkan si anak asyik berkaraoke di dunia.

Saya tidak pernah meraikan hari bapa.

Namun kehadiran bapa ke Kota Kinabalu dari Labuan dan bermalam dengan kami sangat mengembirakan kami dan cucu-cucunya.

Beliau berada di Kota Kinabalu selama tiga hari. Tiba menjelang maghrib di rumah dan bermalam sehari di rumah bertemu anak menantu dan cucu-cucu seramai 5 orang di rumah ini.

Seperti biasa bekalan coklat menjadi hadiah yang dinanti oleh cucu-cucu khususnya Nuha, Hana dan Hadi.

Abdul Hadi pada awalnya masih seperti dahulu, takutkan Nenek Aji. Tapi dia selalu mengaku Nenek Aji baik, selalu belikan coklat, mainan, pernah hadiahkan jam tangan Ben 10 dan lain-lain.

Saya merakamkan gambar mereka dan memujuk Hadi duduk di pangkuan Nenek Aji. Lama memujuk, akhirnya berjaya!

Semoga Atok dan Nenek Aji – kedua-duanya berumur 66 tahun dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT serta diberikan kelapangan untuk beribadah kepada-Nya.

TAHAN LAMA

Bermasalah? Orang lama, orang baru.. daillah!

Saya bersama isteri dan anak hadir ke majlis pernikahan sahabat kami Ustaz Hj Ibrahim Kisab (Imam Besar Masjid Negeri Sabah) dengan pasangannya Ustazah Hajjah Dg Hafizah Ag Basir @ Pja pada pagi jumaat lalu di rumah YB Datuk Hj Arifin Arif (ADUN Membakut) di Kinarut.

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dengan kehadiran keluarga kedua-dua pihak khususnya keluarga perempuan sebagai tuan rumah. YB Datuk Hj Arifin adalah keluarga kepada pengantin perempuan.

Imam Daerah Papar Tuan Imam Jaafar memimpin majlis akad nikah dengan sekali akad sahaja. Kira-kira jam 10.55 pagi, mereka berdua disahkan sebagai suami isteri.

Ustaz Ibrahim adalah rakan kami di Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah. Tidak salah saya beliau masuk pada awal tahun 1997 dan kami ketika itu sudah setahun setengah di ma’ahad.

Di Mesir, sesudah mendirikan rumahtangga pada tahun Oktober 2002 saya berpindah dari Rumah Sabah di Kaherah ke Mansoura. Bilik dan katil saya kemudian diganti dan diisi oleh Ustaz Ibrahim. Di Ma’ahad Qiraat al-Azhar Shoubra, beliau adalah junior meski dari segi umur beliau lebih senior daripada saya.

Sementara isteri beliau Ustazah Hafizah adalah antara rakan baik isteri saya. Mereka sama-sama belajar di Mansoura.

Saat yang mesti dikenang sudah tentu ketika kami menyambut kelahiran anak pertama di Mansoura iaitu Nuha. Pja adalah antara rakan yang turut sama-sama menyambut anak dan menyabarkan isteri saya pada saat kelahiran itu. Pja sendiri menyaksikan Nuha lahir ke dunia ini.

Jadi sudah tentu kedua-dua mereka suami isteri rapat dengan kami. Saat saya mengetahui mereka bakal mendirikan rumahtangga, saya tersenyum sendiri kerana mereka berdua adalah rakan kami.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan limpahan barakah dan inayah dalam kehidupan mereka, dunia dan akhirat, daripada berdua hinggalah beranak bercucu bercicit dan seterusnya…

Kepada kedua-dua pengantin, jadilah suami isteri dan menantu yang baik.


%d bloggers like this: