Raptai penuh berlangsung malam tadi. Sementara petang ini berlangsung raptai untuk majlis perasmian. Rakan-rakan yang bertugas sebagai pengiring sibuk menyambut tetamu dari seluruh negara. Yang datang terdiri daripada hakim-hakim, qari qariah, perwakilan kerajaan-kerajaan negeri dan sebagainya.

Kata kawan-kawan, dewan masih belum bersedia walaupun sudah petang begini. Ada kerusi yang sudah ditempah belum sampai. Saya belum lagi menjenguk ke sana kerana tugasan yang belum selesai.

Di kawasan pameran dan jualan, masing-masing agensi kerajaan, swasta, NGO Islam dan para peniaga menyediakan gerai masing-masing.

Pagi tadi, ruang pameran dirasmikan oleh YB Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Haji Nasir Tun Sakaran. Ada 50 buah gerai pameran dan 30 gerai jualan.

Tengahari tadi semua peserta diundang makan tengahari bersama Perdana Menteri yang baru tiba jam 11.40 di Kota Kinabalu. Selepas asar, para hakim akan bermesyuarat tentang penghakiman MTQ kali ini.

Ada undang-undang baru yang mula dikuatkuasakan tahun ini. Semua qari dan qariah akan mengundi 2 tarannum wajib selain 2 tarannum pilihan sendiri.

Di pejabat kami, Bahagian Penyelidikan & Informasi situasinya macam-macam. Macam kilang kertas pun ada, macam stor pun ada, macam pasar pun ada. Tapi sebabnya sama, iaitu sebagai bukti semuanya bekerja untuk MTQ ini.

Beberapa petugas syarikat datang menghantar puluhan ribu beg untuk kegunaan mengisi makanan kepada audien. Kata Haji Sotimin, setiap malam 7 ribu beg diperlukan.

Buku yang dicetak juga mulai tiba. Tempat meletaknya juga di pejabat kami. Ada enam buku terbitan khas sempena MTQ ini. Namun sehingga petang tadi, baru empat buah buku yang baru siap dicetak oleh Jabatan Cetak Kerajaan. Dua lagi dalam proses dan dijangka dapat diedar kepada awam dalam tempoh MTQ ini juga.

Sejak beberapa minggu lalu, semua petugas dan urusetia diberikan sepasang baju kebangsaan berwarna hijau lengkap dengan sampinnya. Masing-masing kena ukur dan hantar ke kedai jahit menurut selera masing-masing. Semalam, kami diberikan pula baju vest untuk petugas.

Mudah-mudahan kerja baik ini dimudahkan oleh Allah SWT.