Alhamdulillah, malam ini majlis perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke 53 berjalan lancar sehingga ke akhir majlis.

Semua yang terlibat khususnya penganjur sama ada JAKIM Pusat atau Kerajaan Negeri Sabah dan tentunya JHEAINS sebagai jabatan terpenting, berasa lega dengan kelicinan majlis.

Sebelah pagi, majlis perasmian Galeri Pameran oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran di Tingkat Satu Wisma MUIS. Kawasan pameran melibatkan penyertaan 50 agensi kerajaan, swasta dan NGO Islam.

Sepanjang siang saya banyak berkurung di pejabat menyiapkan kerja-kerja menerbitkan risalah harian yang kami namakan al-I’lam (Info).

Risalah ini hanya sehelai kertas A4 yang dilipat dua menjadi empat mukasurat. Ia mengandungi beberapa berita bergambar, info menarik berkenaan MTQ dan petikan al-Quran dan Hadith. Setiap hari sebanyak seribu naskhah akan diterbitkan.

Bersama saya adalah Sdr Kaminor (rekabentuk), Ahmad Haji Yasin (wartawan), abang Jamiun dan Ustaz Abdillah (edaran) untuk menyelesaikan risalah ini setiap hari sehingga 3 Julai nanti.

Di Dewan Saadah, orang ramai mula membanjiri dewan selepas maghrib dan penuh sebelum isyak lagi. Memang kami saksikan kekecewaan ramai orang kerana tidak dapat masuk ke dalam dewan.

Walaupun penganjur menyediakan banyak lokasi berasingan di sekitar Wisma MUIS di aras bawah dan tingkat satu, masih ramai juga mencuba untuk masuk ke dalam dewan. Kasihan mendengar keluhan pakcik makcik yang datang dari jauh seperti Keningau, Kota Belud, Sipitang dan lain-lain.

Selain isu dewan yang penuh sesak, turut kedengaran ialah makanan yang tidak cukup. Saya rasa oleh kerana ada lagi empat malam, pihak yang diamanahkan boleh mengikhtiarkan sesuatu untuk  mengatasi masalah ini.

Sebelum qari qariah mengambil giliran, yang menjadi tumpuan ialah persembahan Hadrah Perdana yang mengumpulkan 60 pemain kompang sekitar Kota Kinabalu. Persembahan mereka menarik, meriah serta mendapat tepukan gemuruh audien.

Tiga orang peserta mengambil bahagian malam ini, dua orang qari dan seorang qariah. Qari ialah Ustaz Anuar Hussin (Perak), Hajah Hadijah (Sabah) dan Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan (Sarawak).