Archive for 27 Jun 2010



Jika tiada masalah, Taman Sri Gaya akan mempunyai suraunya sendiri. Foto di atas adalah keadaan terkini pembinaan surau berkenaan yang terletak tidak jauh di belakang SK Sri Gaya.

Cuma peliknya saya dimaklumkan Unit Falak Pejabat Mufti tidak dipanggil untuk menyemak arah kiblat yang sebenar yang menjadi salah satu tugasan pejabat berkenaan. Wallahu a’lam, jangan sudah siap nanti bermacam cerita pula timbul.

Satu lagi, mungkin saya terlepas pandang. Namun saya tidak terlihat papan tanda projek surau ini. Entah surau atau rumah. Tetapi jiran-jiran berdekatan memaklumkan bentuk binaannya menyerupai surau.

Saya sedikit khuatir melihat pembinaan surau ini di lereng bukit. Nampak sesak sangat dan terdedah kepada runtuhan.

Taman Sri Gaya dihuni oleh golongan menengah dan golongan atasan. Ada pegawai tinggi kerajaan dan ada juga penjawat awam biasa. Ada ramai pensyarah dan guru-guru agama di sekitar sini.

Jadi, asasnya apabila surau ini siap kelak, tidaklah terlalu susah untuk mengimarahkannya dan mengaktifkan kuliah serta ceramah. Ustaz-ustaz ramai.

Bersedialah Ustaz Muhasibi, Ustaz Azam, Ustaz Shahir dan lain-lain…

Alhamdulillah, Klinik Solat Siri 1 berlangsung dengan jayanya di Masjid Negeri Sabah siang tadi. Seramai 120 peserta hadir mendengar ceramah dan kemudiannya sesi praktikal bersama kumpulan masing-masing.

Klinik Solat siri 1 ini adalah kesinambungan daripada Kursus Tahsin Solat sebanyak 6 siri yang diadakan sebelum ini. Hanya bezanya, Klinik Solat menerapkan unsur praktikal dan peserta dibahagi mengikut kumpulan.

Ceramah bermula pada jam 8.30 sehingga 9.50 pagi. Ceramah santai itu lebih banyak memaparkan tayangan gambar cara dan pergerakan solat yang tepat dan kurang tepat.

Pada jam 10.30 pagi, para peserta bergerak mengikut kumpulan masing-masing dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Terdapat 15 kumpulan kesemuanya, manakala fasilitator terdiri daripada siswa siswi Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang membantu Syukbah Dakwah menjayakan program ini.

Dalam kumpulan masing-masing, saya mengarahkan mereka mengisi dengan 2 perkara. Pertama, setiap ahli kumpulan mestilah disemak dan diperbetulkan bacaan surah al-Fatihah mereka. Kedua, praktikal pergerakan dalam solat, sekurang-kurangnya seperti solat subuh atau witir 1 rakaat.

Alhamdulillah kami melihat kreativiti siswa siswi ini mengendalikan kumpulan masing-masing dengan baik sekali. Ada yang memulakan sesi mereka dengan semakan surah al-Fatihah, dan ada pula memulakan dengan latihan praktikal solat.

Tepat 11.45 pagi, kami berkumpul semula di bilik kuliah dan saya menyampaikan sedikit rumusan dan tindakan yang mesti dibuat oleh semua peserta.

Antaranya, para peserta mestilah sentiasa memperbaiki kualiti solat mereka termasuk pergerakan dan bacaan. Tidak boleh malu untuk bertanya dan merujuk kepada guru yang pakar serta mewujudkan kumpulan sokongan supaya semuanya istiqamah belajar dan mendalami Islam.

Akhir majlis, semua peserta bersalam-salaman dengan fasilitator masing-masing dengan iringan solawat beramai-ramai. Majlis berakhir pada jam 12.10 tengahari.

Bertemu lagi Klinik Solat siri 2 pada 11 Julai akan datang.



%d bloggers like this: