Beberapa jam sebelum berangkat pulang ke Kota Kinabalu, kami sempat menziarahi sebuah madrasah yang banyak berjasa melahirkan ilmuan dan alim ulama seluruh negara. Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Seberang Perai Utara juga dikenali ramai dengan nama Pondok Pokok Sena.

Madrasah ini diasaskan pada 1933 (ada yang menyebut tahun 1929) oleh Tuan Guru Hj Hussin Muhammad Nasir, seorang ulama terkenal yang keturunannya berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Indonesia. Beliau adalah keturunan seorang ulama’ terkenal di Nusantara iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pengarang kitab Sabilal Muhtadin.

(Abu Abdullah Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan pada hari Ahad 20 Jumadil Awwal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah).

Perjuangan di pondok ini disambung oleh anaknya Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussin yang juga Qadhi Besar Pulau Pinang setelah Tuan Hussin meninggal dunia pada awal tahun 1936.

Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussin adalah Ahli Parlimen PAS yang pertama dalam Pilihanraya Umum Pertama pada Julai 1955. Dalam PRU itu, PAS bertanding di 11 kerusi daripada 52 kerusi Parlimen. Tuan Guru Hj Ahmad adalah satu-satunya calon PAS yang menang dalam PRU berkenaan.

Antara pelajar dari Sabah yang pernah menuntut di sini ialah Datuk Hj Aidi Mokhtar, Ust Senan Jipar, Ust Ag Syairin Bakar, Ust Malai Ali, Ust Zuldin, Ust Ag Laiman dan lain-lain. Sementara saya dimaklumkan orang pertama ialah Datuk Hj Utuh Said yang datang sekitar 1975.

Singgah untuk mengambil gambar persekitaran tidak sampai 5 minit, kami singgah sebentar di rumah salah seorang mantan guru di sini iaitu Ustaz Hj Omar Ahmad, 70 tahun. Ustaz Hj Omar adalah guru bahasa Arab dan tarbiyyah ketika Ustaz Awang belajar di sini sekitar tahun 80-85. Walaupun kelihatan uzur, kami disambut beliau dengan kitab berada di tangannya.