Archive for 15 Jun 2010


KAMPUNG HAJI KUDONG


Entah apa sejarahnya sehingga kampung ini dinamakan dengan nama sedemikian. Kami ke sini dengan tujuan mengerat silaturrahim yang lama terjalin.

Ustaz Awang bercerita ketika zaman remajanya pernah belajar di Maahad Khairiah Pokok Sena Pulau Pinang, kira-kira setengah jam perjalanan dari kampung ini. Sementara Kg Haji Kudong ini terletak dalam negeri Kedah.

Keluarga yang kami ziarahi ini adalah keluarga angkat beliau yang kali terakhir ditemui kira-kira 8 tahun lalu.

Walaupun pertemuan diatur terlalu singkat, kami dirai dengan semangat persaudaraan. Baru tiba di rumah itu, kami dihidang dengan rambutan, durian dan sebagainya. Belum habis durian, makan tengahari pula. Habis nasi, laksa Kedah pula menanti.

Ibu angkat Ustaz Awang begitu gembira sekali sehingga mengalirkan air mata kegembiraan kerana bertemu anak angkatnya. Satu persatu anak dan cucu diperkenal dan diingatkan semula, mana yang hadir disuruh bersalam dengan kami satu persatu.



Perjalanan di bumi semenanjung semakin indah apabila bertemu dengan sahabat seusrah dan seperjuangan dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah, Che’gu Jamil Dayan sekeluarga.

Saya merasakan kemanisan bersahabat dengan beliau, bahkan kedua-dua keluarga kami bersama ketika mereka masih berada di Sabah dahulu.

Maka kerana perpindahan mereka akhir tahun lalu itu begitu menyedihkan saya sendiri, maka saya tidak sanggup menyambut panggilan dan mendengar suaranya. Sehingga sehari dua lalu beliau ada menghantar sms dan kami berjanji bertemu di satu tempat.

Saat sama-sama mencari untuk bertemu dan beliau membuat panggilan, barulah saya menyambut dan mendengar suaranya.

Kami bertemu di gerai makan, bercerita tentang banyak hal. Kisah-kisah PUM Sabah, CONCERN Sabah, aktiviti dakwah di Sabah, tentang dunia barunya di SMK Tambun, aktiviti dakwah di sekitar Ipoh, hal keluarga dan anak masing-masing.

Namun yang jelas, beliau masih mencari rentak dan stand untuk bergerak dalam misi dakwah yang tidak pernah selesai.

Meski tidak lama kami bercerita, pertemuan itu jelas mengubati kerinduan setelah perpisahan. Mudah-mudahanĀ  terubat rindu rakan-rakan aktivis dakwah di Sabah apabila membaca entri ini. Betul kata orang, biar hilang di mata; di hati jangan.


%d bloggers like this: