Selesai bersarapan bersama kawan-kawan, kami berhasrat untuk berangkat ke lokasi berikutnya. Maklumlah berada dalam tempoh bermusafir, banyak urusan hendak diselesaikan. Baru berjalan selangkah dua, saya disapa oleh seseorang.

“Tuuu…”, dia memuncungkan mulutnya ke arah kanan saya, menunjukkan sesuatu tidak jauh dari tempat berdiri kami. “Pegi ambil gambar”, katanya. Kerana barangkali dia melihat saya menyandang kamera, dia menyuruh saya mengambil gambar susuk tubuh kecil itu.

Dia baru duduk di meja gerai, sekitar jam 9 pagi. Menempah makanan, sambil-sambil itu, satu demi satu orang ramai datang, bersalam dan bergambar dengannya. Ketika soto yang dipinta sudah sampai, orang masih datang bergambar.

Dia biarkan saja mereka duduk di sisi atau berdiri di sampingnya mengambil gambar sedang dia tersenyum sambil meneruskan sarapannya.

Saat jurugambar profesional, amatur dan blogger semakin ramai, saya berundur puas kerana sudah dapat merakam gambar yang istimewa.