Kami datang lewat kerana baru pulang menziarahi Cikgu Din yang kurang sihat di Limbongan. Cikgu Din pernah bertugas di Sabah sekitar 5 tahun sebelum diarah kembali ke Kelantan.

Perjalanan ke Pengkalan Chepa mengambil masa sekitar sejam. Di simpang, perjalanan mula sedikit tersekat kerana kenderaan banyak sementara parkir pun susah diperolehi. Mujur kami terlewat, maka sesak tidak begitu teruk kerana orang ramai yang beribu-ribu itu sudah membanjiri perkarangan PUTIK sejak awal.

Ketika kami tiba, wakil HAMAS Palestin sedang berucap dalam bahasa Arab sambil diterjemahkan oleh Ustaz Abdullah Yaakub ke dalam bahasa Melayu. Bergetar hati apabila mengenangkan kesengsaraan umat Islam di sana yang dizalimi zionis celaka itu.

Turut berucap ialah bekas pemain bola sepak Kebangsaan dan Kedah, Radhi Mat Din yang dilantik sebagai ikon Gerakan Membantah Judi (GMJ) dan Hj Jamaluddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan AMAL Malaysia iaitu salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan oleh pengganas zionis celaka dalam kapal Marvy Marmara tempohari.

Berita 1 (harakahdaily)

Israel takutkan perpaduan umat Islam

Nazri Abdullah

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Wakil Hamas, Dr. Munir berkata Zionis Israel sangat takut kepada perpaduan umat Islam yang dianggap senjata ampuh yang boleh memusnahkan mereka.

Berucap dalam ceramah sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Putik malam tadi beliau berkata, Zionis tahu kekuatan orang Islam dan mereka kini cuba membuatkan umat Islam berpecah.

“Orang yahudi tahu kekuatan Islam iaitu perpaduan. Mereka juga saban tahun mengadakan muktamar, merangka strategi bagi menghalang kewujudan Salahuddin Al-Ayyubi kedua. Mereka paling takut untuk melihat orang Islam solat Subuh di masjid seramai solat Jumaat,” katanya.

Terdahulu beliau berterima kasih kepada PAS di atas jemputan dan mengharapkan muktamar PAS kali ini meneguhkan lagi perjuangan Islam di Malaysia. Ujian paling besar umat Islam seluruh dunia hari ini katanya adalah berdepan kekejaman Zionis Israel.

“Kita dipilih untuk bersama berdepan dengan rejim ini,” katanya lagi. Beliau juga melahirkan keyakinan kepungan ke atas Palestin akan pecah sedikit masa lagi dengan perpaduan umat Islam seluruh dunia.

Turut berucap pada ceramah malam tadi, wakil gerakan Islam Maldives dan MILF (Moro). Lebih dua ribu rakyat Kelantan memenuhi perkarangan Putik malam tadi.

Berita 2 (harakahdaily)

Kutuk Israel: Umno tipu rakyat terang-terangan-Presiden

Nazri Abdullah

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai penipu besar apabila mendakwa mengutuk Israel sedangkan pada masa sama menghalalkan judi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, antara strategi Zionis Israel merosakkan akhlak orang Islam adalah dengan memastikan mereka terlibat dengan judi dan rasuah.

“Bila kerajaan Malaysia menghalal judi, ini satu penipuan besar. Kata tentang Israel tapi lulus judi bola, ini bukan silap mata, tapi terang-terang depan mata,” katanya pada ceramah khas sempena muktamar di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) malam tadi.

Tindakan kerajaan itu katanya bukan aneh kerana penubuhan Umno itu sendiri adalah dibawah tajaan British. Tambahnya lagi, Zionis sememangnya mahu melihat umat Islam rosak dan berpecah belah demi menjayakan hasrat mereka merampas bumi Palestin bagi menubuhkan Israel Raya.

Mereka ujar Ustaz Hadi, sedang membuat perancangan halus merosakkan ekonomi, politik dan akhlak orang Islam agar lemah.  Sehubungan itu, PAS tegasnya akan bersama umat Islam Palestin menentang Zionis Israel.

Perjuangan membebaskan Palestin katanya bukan baru bagi PAS kerana pimpinan-pimpinan PAS sejak di zaman penubuhannya lagi telah memperjuangkan isu Palestin.

“PAS ditubuhkan tahun 51 oleh tokoh gerakan awal Islam di Tanah Melayu, dan kita adalah penyambung perjuagan itu,” katanya.

Turut berceramah malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan wakil gerakan Islam luar negara termasuk dari Hamas, Maldives dan MILF (Moro).

Berita 3 (Malaysiakini)

PAS tampilkan ‘ikon’ bola anti-judi

Jimadie Shah Othman

PAS kini menampilkan bintang bola sepak negara Radhi Mat Din sebagai ‘ikon’ kempen menentang pemberian judi sukan di negara ini. Dalam ceramah perdana sempena muktamar PAS ke-56 malam tadi, Radhi diminta merasmikan Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi (GMJ) – gabungan NGO dan pembangkang khusus khusus untuk menggagalkan usaha kerajaan itu.

Tampil dalam gaya kasual – berseluar trak dan berkemeja-T di hadapan kira-kira 3,000 penyokong pembangkang – Radhi mengimbau kembali bagaimana ‘runtuhnya’ kegemilangan bola sepak di zamannya lebih 10 tahun lalu akibat perjudian haram dan rasuah.

Menceritakan pengalaman peribadinya, Radhi berkata, ketika mengetuai pasukan Kedah pada tahun 1996 berlaku “peristiwa malang” apabila seramai 136 orang telah dituduh terlibat dalam rasuah yang diakibatkan oleh aktiviti pertaruhan haram.

“(Permainan) bola ini tiada kaitan langsung dengan judi. Malangnya sekarang sukan bola sudah dipalitkan dengan judi yang haram di sisi semua agama di dunia ini. Ini umpama lain yang sakit, lain pula yang diubatnya.

“Kerajaan seharusnya mengetatkan penguatkuasaan terhadap judi haram bukannya bertindak menjadikan judi sebagai halal setelah tidak mampu membenterasnya,” katanya yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pasukan Kedah.

Radhi, anak kelahiran Kedah merupakan kapten paling lama dalam skuad hijau-kuning. Pemain tengah itu pernah mewakili negara dan menempa populariti dalam liga semi pro negara sekitar 90-an.

Penampilannya malam ini dilihat bagi menarik sokongan peminat bola sepak tempatan yang merindui aksi-aksi menarik sekitar zaman bola sepak tempatan yang mendapat perhatian besar ketika itu.

Ajak Dr M, Pak Lah berdemo

Berkongsi pentas bersama Mursyudul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Radhi menyuarakan kebimbanganya terhadap kemerosotan mutu bola sepak negara secara lebih serius.

“Yang menjadi pertimbangan utama kepada penontong selepas ini bukan kualiti permainan tetapi untung atau rugi, kaya atau miskin, dapat duit atau tidak,” katanya.

Dalam ceramah di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Radhi membuat ‘pendedahan’ yang mengejutkan sebahagian penyokong yang hadir.

“Sebenarnya judi sukan bola sepak ini boleh dipecahkan kepada perbagai pertaruhan. Antaranya pertaruhan menentukan pasukan bertanding, minit jaringan pertama, penjaring gol pertama, pemain terbaik, pasukan yang menang, pasukan yang kalah dan macam-macam lagi,” katanya.

Katanya, jika usaha bagi meluluskan pemberian lesen judi tidak dihalang, apa bakal ditonton bukanlah permainan bola sepak sebenar tetapi hanyalah “lakonan permainan bola”, katanya.

Radhi juga menyeru dua bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdulah Ahmad Badawi supaya turut serta dalam perhimpunan di Istana Negara pada 3 Julai depan bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berjanji akan menarik lebih ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah terlibat dengan bola sepak untuk sama-sama menyokong Gerakan Rakyat Membantah Judi ini. Ini penting bagi mempastikan judi bola ini akan dimansuhkan oleh pihak kerajaan,” tambahnya.

Gambar dari Malaysiakini