Archive for 10 Jun 2010


PEJABAT PAS HARIAN


Asal saja ke Terminal 2 LTA Kota Kinabalu ini, saya mesti tersenyum sendirian melihat papan tanda nama ini.

Setahu saya dalam struktur Parti Islam SeMalaysia (PAS), terdapat istilah Dewan Harian dipelbagai peringkat seperti PAS Pusat, PAS Negeri, PAS Kawasan serta Dewan-Dewan. Kalau diperingkat PAS Pusat, Dewan Harian ialah dianggotai oleh Presiden, Timbalan, Naib-Naib, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua-Ketua Dewan dan Ketua Penerangan.

Ada peraturan tertentu yang menghendaki mereka bertemu dan bermesyuarat dalam kadar tempoh tertentu yang tidak memerlukan kehadiran semua AJK lain.

Ketika mula terpandang signboard ini beberapa tahun lalu, saya hanya terbaca baris atas berbahasa Melayu sahaja dan tidak perasan tulisan berbahasa Inggeris. Ketika itu, hairan juga sejak bila PAS Sabah ada pejabat di Lapangan Terbang.

Rupanya…


Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sementara menantiĀ  waktu penerbangan ke Pulau Pinang, kami bertemu dengan rakan dan jiran lama kami ketika berada di Mansoura Mesir, Ustazah Nurul Farida Zainal Abidin.

Nurul orang Negeri Sembilan dan pernah mendirikan rumahtangga dengan orang Kota Belud. Di Mesir, kami suami isteri adalah jiran terdekat mereka daripada kalangan pelajar Malaysia.

Sudah ketentuan Allah SWT, suaminya Ust Mohd Kasbi Ikin, kembali kerahmatullah akibat terjatuh daripada bangunan pada satu malam yang gelap gelita. Ketika itu pada tahun 2003, Nurul sedang mengandungkan anak sulung mereka.

Anak sulung saya Nuha lahir pada 0gos 2003 dan Nurul pula kalau tidak salah bersalin pada bulan November tahun yang sama. Anak lelaki, Izzat namanya. Rupa dan kulit Izzat mengingatkan kami kepada Allahyarham Ustaz Kasbi yang baik hati dan suka menolong orang. Melihat Izzat turut membuatkan kasih kami tumpah kepadanya.

Sesudah 7 tahun berlalu, sama dengan umur Izzat, Nurul bertemu jodoh kali kedua, kali iniĀ  dengan orang Kelantan. Perkahwinan mereka berlangsung pada awal Mei lalu. Alhamdulillah, bagi pihak keluarga kami mengucapkan tahniah kepada mereka berdua.

Walaupun sudah kembali bersuami, Nurul tidak melupakan keluarganya di Kota Belud. Bersama suami baru, mereka berziarah ke Kota Belud buat beberapa hari, menemukan Izzat dengan atuk dan neneknya juga pakcik dan makciknya di sini disamping memperkenalkan suami kepada keluarga di Kota Belud.

Mudah-mudahan Izzat mendapat kasih seorang bapa yang tidak pernah dikecapinya sejak lahirnya 7 tahun lalu. Bersama rakan-rakan mutazawwijin Sabahan di Mansoura, sudah tentu terkenang dengan hidangan pizza Nurul yang menyelerakan.

Nota : Allahyarham Mohd Kasbi Ikin adalah adik kepada Ustaz Awang Laiman Ikin, bekas warga JHEAINS yang bertanding sebagai calon PRU 12 lalu di DUN Tempasuk Kota Belud.

%d bloggers like this: