Archive for 8 Jun 2010


“Sesiapa yang menggantung azimat, sesungguhnya ia telah melakukan syirik.” (HR Imam Ahmad di dalam Kitab al Musnad)

Ketika sesi rawatan berjalan di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah petang ahad lalu, Ust Nik diberikan satu bungkusan kecil yang berjahit (gambar atas). Ia diberikan oleh seorang suami kepada isterinya yang diserang jin saka.

Menurut abang berkenaan, dia diberikan bungkusan berkenaan ketika membawa isterinya di satu lokasi di Kg Tanjung Aru, Kota Kinabalu beberapa hari sebelum ini. Kepada saya beliau bercerita bomoh yang ditemui mereka memberikan beberapa syarat agar menyimpannya di tempat tertentu.

Tujuannya supaya isterinya akan sembuh dan pulih.Sebenarnya, tidak pulih pun.

Sebenarnya ketika abang berkenaan menghubungi saya beberapa hari sebelum seminar berkenaan untuk bantuan perubatan, saya mengajaknya bersama isterinya datang untuk mendengar dulu kuliah yang disampaikan.

Mungkin terbuka hatinya mendengar kuliah dan Ust Nik menceritakan tentang tangkal dan azimat, akhirnya dia menyerahkan bungkusan kami lewat petang itu. Ust Nik menyuruh saya membukanya, dan inilah yang kami lihat isinya…


Bungkusan berisi cili padi itu kemudiannya dibuang begitu sahaja. Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan mereka.


Di Masjid Negeri Sabah dan kebanyakan masjid-masjid utama di Malaysia dan di seluruh dunia sering menjadi tumpuan orang bukan Islam mengunjunginya. Tujuannya pelbagai, kebiasaannya hendak melihat keindahan masjid luar dan dalam dan juga hendak melihat sendiri cara orang Islam menunaikan solat.

Ketika kami belajar di Maahad Tahfiz al-Quran pada pertengahan 90an dan kelasnya pula terletak di Masjid Negeri Sabah, kami sering menyaksikan pelancong dalam dan luar negara datang ke masjid. Kebanyakannya orang Asia Timur seperti Korea, Jepun, Taiwan, China dan lain-lain, dan juga orang Eropah pelbagai negara.

Ketika itu kami menyaksikan mereka hanya dilayan oleh pengawal keselamatan. Tulis nama, negara asal dan komen; jika ada lebihan risalah, mereka akan diberikan sekeping katalog sejarah pembinaan Masjid Negeri. Kemudian mereka diunjukkan pakaian jubah dan tudung untuk dipakai bagi menghormati institusi masjid ini.

Kadang-kadang pengawal hanya mengiring mereka naik ke atas sekadar melihat pemandangan indah tanpa sebarang penerangan dan kemudian turun semula.

Sayang, mereka yang tidak Islam itu sudah datang ke premis dan kawasan kita. Hanya cuma diterangkan sejarah pembinaan masjid, berapa juta kos dan seumpamanya. Tidak lebih tidak kurang.

Beberapa tahun kemudian timbul kesedaran.

Masjid Negeri Sabah mewujudkan pegawai penerangan bagi menyambut ketibaan mereka dan sekaligus menceritakan keindahan Islam. Kepada mereka ditayangkan klip video dan sesi soal jawab. Kemudian dibawa naik ke dewan solat untuk menyaksikan orang Islam yang sedang solat.

Pegawai Penerangan Masjid Negeri Sabah ketika ini ialah Saudara Janis Abdullah. Beliau membawa mereka ke atas dan menunjukkan cara solat umat Islam dan menerangkan kelebihan pergerakan itu satu persatu. Kadang-kadang sesetengah pelancong ini mahu pula untuk mencuba gaya solat itu, seperti berdiri betul, rukuk, sujud dan sebagainya.

Ada juga di kalangan mereka hendakkan keterangan lanjut berkenaan isu-isu semasa berkaitan Islam. Alhamdulillah, setahu saya saudara Janis mampu mengendalikannya dengan baik.

Mudah-mudahan sedikit sebanyak membuka mata, minda dan hati mereka akan keindahan Islam khususnya tentang kehebatan solat. Kita hanya menyampaikan, Allah jua yang berkuasa memberi mereka hidayah.


HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID

Soalan :

Apakah hukumnya orang-orang bukan beragama Islam memasuki masjid? Jika dibolehkan, apakah tatacara dan adab-adab bagi membolehkan mereka masuk ke dalam masjid untuk tujuan melawat dan menyaksikan kawasan dalam masjid?

Jawapan :

Di dalam mazhab asy-Syafie orang kafir haram dan ditegah sama sekali daripada masuk Masjidil Haram sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah : 28.

Di dalam kitab I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid karangan Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram. Menurut kitab tersebut, orang kafir dibolehkan masuk ke dalam masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan junub.

Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang menjelaskan bahawa pada zaman Baginda SAW orang-orang kafir masuk ke dalam masjid Baginda yang tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam keadaan berjunub. (I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid : 318)

Sebab keharusan ini kerana mereka beriktiqad bahawa tidak haram hukumnya ke atas mereka masuk ke dalam masjid dalam keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang Islam, mereka ditegah masuk atau berada di dalam masjid dalam keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut ketentuan syarak terhadap mereka.

Keharusan orang kafir masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (yang bermaksud) :

“Rasulullah SAW telah mengutus pasukan berkuda ke Najd. Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang (tawanan) lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsauban bin Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. (HR al-Bukhari)

Imam ar-Rafie dan Imam an-Nawawi rahimahumallah berpendapat secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam. Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal.

Daripada penjelasan para ulama’ Syafiiyyah di atas, jelas bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan.

Untuk ini, pihak masjid memang perlu membuat peraturan sesuai dengan kehormatan dan kesucian masjid, umpamanya dimestikan memakai pakaian yang sopan atau menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-masa yang sesuai dan lain-lain peraturan yang munasabah.

(Disesuaikan semula dari buku himpunan fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam)

%d bloggers like this: