Archive for 7 Jun 2010


SESI RAWATAN


Selesai sesi Seminar Perubatan Islam dengan soal jawab yang bertalu-talu berakhir jam 2 petang, para peserta beransur ke bilik kuliah Masjid Negeri Sabah di aras bawah.

Asalnya kami menjangkakan kehadiran dibawah 50 orang sahaja, namun nampaknya hampir keseluruhan peserta berada di bilik berkenaan.

Mulanya, peserta lelaki yang mempunyai ciri-ciri ‘serangan’ makhluk halus dipersilakan untuk duduk di lantai menghadap kiblat bagi sesi rawatan. Namun belum sempat sesi berkenaan, beberapa audien muslimat tumbang satu demi satu terkena serangan jin.

Melalui semakan yang saya buat, ada di kalangan yang dirawat itu dirasuki jin saka, ada yang disihir,  kena santau dan sebagainya. Alhamdulillah, walaupun saya lihat Ust Nik Anwar sendiri kurang sihat, sesi rawatan berjalan lancar dan berakhir pada jam 5.30 petang.

Buat audien yang hadir dan berminat untuk sesi berikutnya, kami sedang merancang untuk mengadakan sesi ini dalam bentuk kuliah mingguan khususnya dalam membentuk para muallij yang benar-benar mahir dan mengikut syarak. Maklumat selanjutnya akan diberitahu daripada masa ke masa.



Hati saya sendiri sebenarnya berdebar-debar menanti kehadiran peserta pada masa yang ditetapkan. Walaubagaimanapun saya sudah memutuskan, kalau ramai yang datang ertinya orang berminat. Kalau kurang ertinya mungkin sebab pertembungan program kenduri kahwin dan balik kampung.

Demikianlah saya dimaklumkan ramai rakan-rakan berhalangan kerana 2 perkara tersebut. Namun gembira juga di hati kerana hampir 200 orang datang ke seminar ini. Perubatan Islam ini sangat perlu diketahui masyarakat Islam khususnya di Sabah ini kerana masih banyak berlaku amalan khurafat seperti perbomohan tidak syar’ie, azimat, tangkal dan sebagainya.

Sebenarnya perubatan seumpama ini merupakan satu bentuk dakwah yang sangat baik khususnya untuk memperbaiki umat Islam dan mendekatkan orang bukan Islam berkenaan keindahan Islam.

Yang hadir menurut pemerhatian kasar sebahagiannya merupakan yang biasa menghadiri kursus tahsin solat dan kursus haji, manakala sebahagian lagi orang baru yang mungkin nampaknya terkesan dengan tajuk ‘hakikat jin dan perawatannya’.

Dalam kertas kerja yang dibentangkan, Ust Nik menceritakan tentang kewajiban beriman kepada perkara ghaib, dalil  al-Quran dan hadith berkenaan kewujudan makhluk jin, asal kejadian jin, nama-namanya, asal usulnya, jelmaannya dan gangguannya.

Ustaz juga menceritakan tentang sebab gangguan berlaku, tanda-tandanya, serta kaedah rawatan berkaitan gangguan jin. Tidak lupa ustaz menerangkan tentang doa-doa dan zikir yang sepatutnya menjadi amalan harian.

Saya suka apabila ustaz menerangkan tentang kewajiban kita beriman kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa dan sewajibnya menjadi keyakinan kita bahawa semua makhluk tidak mempunyai daya upaya melainkan dengan izin Allah SWT jua.

Bagi pihak rakan-rakan dari Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah selaku penganjur amat terhutang budi kepada Ustaz Nik Anwar Zakaria yang memaklumkan saya bahawa beliau masih belum sihat sepenuhnya, namun kesungguhan beliau datang seawal jam 8 pagi sehingga sesi rawatan berakhir jam 5.30 petang.

Harapan kami, peserta yang hadir dapat mengaplikasikan dalam kehidupan masing-masing doa dan zikir yang diajar serta memimpin masyarakat sekitar agar sentiasa beramal dengan Islam termasuk dalam soal yang telah dibincangkan oleh penceramah.



%d bloggers like this: