Sebenarnya beberapa hari lalu, saya menghadapi sedikit masalah apabila mykad saya hilang atau tercicir di tempat yang saya tidak ketahui. Puas sudah mencari di rumah, di kereta dan di pejabat namun tidak bertemu.

Kesempatan sedikit masa selepas solat Jumaat saya membuat laporan di Balai Polis Inanam dan seterusnya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga di Inanam, tidak jauh dari Balai Polis tadi.

Alhamdulillah, ketika melakukan laporan di kedua-dua tempat, saya mendapat layanan yang sangat mesra dan baik sekali. Hanya saya kurang berpuas hati dengan denda yang dikenakan oleh pihak berwajib.

Bagi kehilangan pertama kali, RM100 bayaran dikenakan, kali kedua RM200 dan kali ketiga dan seterusnya RM300.

Apa yang membuatkan saya tidak berpuas hati, apabila pegawai berkenaan menyatakan kalau seseorang kehilangan kali pertama kerana kecurian, sementara kali kedua tercicir, maka dendanya tetap RM200. Dicampur lagi dengan bayaran membuat mykad baru sebanyak RM10.

Sudahlah mangsa kecurian kehilangan mykad, wang dan sebagainya, lalu ketika proses membuat mykad baru didenda pula dengan jumlah yang membebankan.

Mujur saja layanannya baik. Hanya dia mengatakan demikianlah jumlah denda yang ditetapkan. Sebelum dia menggambar saya, saya terlebih dahulu menggambarnya.

Setelah menerima resit pengenalan sementara, pegawai berkenaan meminta saya datang 3 minggu lagi untuk mendapatkan mykad yang asli.