Menjelang tengahari saya berada di perkarangan rumah Datuk Hj Asmali Bachi menghadiri kenduri perkahwinan anak beliau. Alhamdulillah, ini adalah anak pertama beliau yang mendirikan rumahtangga.

Sebagai anak murid yang pernah rapat dengan beliau satu ketika dahulu, khususnya ketika mengaji di Maahad Tahfiz al-Quran dan beliau ketika itu selaku pengetuanya yang pertama, kami amat rapat dengan beliau sekeluarga.

Biasa keluar masuk ke rumahnya, bahkan sering makan dan masak sendiri di rumahnya. Saya pula boleh dikatakan agak kerap bermalam di rumahnya.

Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Datuk Hj Asmali yang pernah menjadi Penolong Imam Besar Masjid Negeri Sabah, kemudian menjadi Imam Besar, pernah menjadi pengetua Maahad Tahfiz ini hanya tinggal di rumah kecil quarters kakitangan MUIS bersebelahan bangunan SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah sejak lebih 20 tahun lalu.

Rumah ini hanya ada 2 bilik sedang anak-anak ada 7 orang. Di belakang rumah kecil itu diluas dan diatapkan supaya anak-anak lelaki dan tetamu yang selalu berkunjung boleh bermalam di sana.

Raihanah adalah anak kembar Datuk Asmali dan Datin Sintek (Datin biasa kami panggil dengan babu). Kakak kembarnya bernama Raihan. Yang menarik kedua-duanya lahir pada 29 Februari, tarikh yang hanya ditemui setiap 4 tahun sekali.

Alhamdulillah, saya mendapat maklum menantu pertama beliau – Asbollah Rajis yang berasal dari Beaufort mengenali Raihanah ketika berada di Masjid Negeri Sabah. Menarik juga Asbollah punya hubungan keluarga dengan Datuk Hj Mokhtar Rapok, juga bekas Imam Besar Masjid Negeri Sabah.

Suatu yang jelas kehadiran kenduri kahwin ini selain ahli keluarga dan jiran mereka ialah anak-anak murid yang pernah berguru dan mengaji dengannya. Antara yang kelihatan ialah Ust Hj Ibrahim Kisab (Imam Besar), Imam Abd Amir Md Arapa, Imam Saidin Arpha, Ust Arshad dan lain-lain. Kesemuanya itu antara anak-anak murid beliau yang kini berkhidmat di tempat masing-masing.

Ketika pengantin berada di pelaminan, pertunjukan silat dipersembahkan untuk kedua pengantin dan hadirin. Ternyata  persembahan itu menarik perhatian semua yang hadir.

Tahniah buat Asbollah dan Raihanah. Semoga menjadi pasangan suami isteri yang baik.