Pagi tadi saya hadir di bilik mesyuarat pejabat Majlis Ugama Islam Sabah, tingkat 5, blok A Wisma MUIS. Menurut Tuan Hj Abd Rashid Yusof, Timbalan Setiausaha MUIS, terdapat 40 orang warga MUIS di sini.
Hari ini saya membacakan beberapa hadith Rasulullah SAW berkenaan mereka yang mendapat syafaat Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti.
Saya nyatakan, dengan kelalaian dan kelemahan kita dalam beribadah yang memang sedikit itu, kita amat sangat memerlukan syafaat baginda SAW pada hari kiamat nanti bagi menyelamatkan kita daripada azab Allah SWT.
Antara yang disebut dalam hadith Rasulullah SAW akan menerima syafaat ialah mereka yang mendoakan wasilah untuk Rasulullah, berdoa selepas azan, menziarahi Rasulullah, orang yang mati di Madinah, banyak bersolawat kepada Nabi SAW dan lain-lain.
Semoga kita mendapat syafaat baginda.