Saya kira, berbanding 5-10 tahun lalu agak kurang dan jarang kedengaran dengan kerap orang kita menunaikan umrah.

Kini rasanya kalau dalam tempoh sebulan ada saja kumpulan-kumpulan yang diberikan rezeki dan kesempatan oleh Allah SWT untuk menunaikan umrah.

Dalam tempoh sebulan dua ini, rakan-rakan dan kenalan bertali arus, dan bergilir untuk pergi ke tanah suci. Baru kedengaran si fulan pergi dan belum balik, kumpulan rakan lain pula ke sana. Alhamdulillah.

Bagi saya, membudayakan umrah mengatasi tempat-tempat lain perlu digalakkan dalam masyarakat kita. Tambahan lagi dengan ibadah umrah dan ziarah ini akan mengecas diri kita – dalam dan luar – untuk terus tekun beribadah dan menghambakan diri kepada-Nya.

Malam ini, saya berkunjung ke rumah TJ&R di Petagas untuk menghadiri kenduri umrah Sdr Zawawi Tiyunin. Yang hadir terdiri daripada keluarga terdekat sahaja. Datuk Ibrahim Saad mengimamkan solat maghrib, sementara saya memimpin bacaan Yasin dan doa selamat.

Kepada Sdr Zawawi @ Yus yang berlepas ke tanah suci pada sabtu ini, semoga selamat pergi dan kembali, beribadah sebaik-baiknya dan tidak melupakan kami dalam doa-doa sepanjang keberadaan di sana.