Archive for 2 Jun 2010


KURANG SEDIKIT


Dari bangunan RTM Sabah, saya terus ke Masjid Negeri untuk mengikuti Kuliah Fekah bimbingan Ust Hj Muchlish Ali Kasim anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah setiap selasa malam rabu, 8.30-9.30 malam.

Ketika saya tiba, kuliah sudah hampir ke penghujung. Ini kerana program di Sabah FM berakhir jam 9, keluar dari sana sekitar 9.10 malam.

Kuliah masih merujuk jilid 1 Kitab Fekah Mazhab Syafie, dan menyentuh tentang zakat fitrah selepas bercerita tentang topik solat sunat hari raya.

Barangkali kerana cuti panjang  5 hari sejak jumaat lepas, ramai muka-muka yang biasa hadir tidak kelihatan. Mungkin balik kampung atau bercuti di tempat lain. Mudah-mudahan minggu mendatang, kehadiran kembali melonjak.

Seronok hadir kerana dapat ilmu banyak dan ukhuwwah sesama audien yang menyertai kelas ini.



Sekali lagi saya diundang ke konti Sabah FM untuk program Tilawah Interaktif anjuran bersama Sabah FM & JHEAINS. Program bersama ini adalah sempena Majlis Tilawah Kebangsaan yang akan diadakan di Kota Kinabalu hujung bulan ini.

Minggu ini saya datang lebih awal, sekitar jam 8, lima belas minit sebelum keudara. Ini kerana saya perlu berbincang sebentar dengan perantara khususnya DJ Rais berkenaan isu yang akan diutarakan. Maklumlah 5 hari bercuti, tempoh itu juga kami tidak bertemu.

Pada asalnya, tetamu yang dicadangkan minggu ini ialah Ust Hj Ibrahim Kisab (Imam Besar Masjid Negeri Sabah) tetapi beliau berhalangan, maka sekali lagi saya hadir mengganti beliau. Tajuk minggu ini masih berkenaan ilmu qiraat.

Saya sempat menceritakan kisah Imam Nafi’ yang sentiasa wangi mulutnya ketika membaca al-Quran. Dalam buku Tarikh Qurra’ ada dimuatkan kisah menarik ini, bahawa beliau pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Dalam mimpinya, Baginda SAW membacakan al-Quran dekat mulutnya. Sejak itulah mulutnya berbau wangi.

Seperti minggu lalu, saya ditemani oleh DJ Hjh Napsiah (Sabah FM) dan DJ Rais dari JHEAINS. Ada tujuh pemanggil kesemuanya, ada pemanggil yang sama seperti minggu lalu dan ada pemanggil baru untuk memperdengarkan bacaan ayat pilihan iaitu surah an-Nas dengan Riwayat ad-Duriy Abu Amru.

Oh ya, adik Nur Faten Izzati – Naib Johan Qariah Negeri Sabah pun ada menghubungi ke studio. Sekarang dia mengaji di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Semulanya, kami ada mencadangkan agar Faten menjadi qariah jemputan untuk membacakan surah pilihan, kerana ilmu qiraat adalah sebahagian daripada subjek utama di sana. Namun saat akhir saya dimaklumkan pihak pentadbiran maahad tidak membenarkan. Apa puncanya wallahu a’lam.

Insya Allah minggu hadapan, tajuk berkenaan tajwid dan fasahah. Tetamu yang dicadangkan  ialah Ust Md Jumat Abd Razak al-Belurani al-Hafiz dari Pejabat Mufti Negeri Sabah.


%d bloggers like this: