Cuti sejak jumaat lalu sehingga hari ini, tidaklah sepenuhnya cuti dan berehat di rumah.

Pagi tadi saya sedikit terlewat – mungkin kerana cuti – untuk ke Masjid Negeri Sabah, bertemu hampir 20 orang imam-imam qaryah dan rawatib daerah Kota Kinabalu yang hadir dalam program tahsin mingguan mereka.

Saya dimaklumkan program tahsin untuk imam-imam ini diadakan sejak awal tahun ini untuk memperbaiki kualiti imam-imam daripada segi pergerakan dan bacaan solat, wirid dan doa, bacaan al-Quran, tahlil dan sebagainya.

Antara mereka yang pernah mengisi program ini ialah Datuk Hj Asmali Bachi, Ust Hj Imran Anggun, Ust Hj Ibrahim Kisab, Ust Md Hailmi Misbah dan lain-lain. Jadi minggu ini saya diminta untuk mengisi sedikit program untuk mereka.

Namun yang saya cadangkan kepada pengurusan JHEAINS Daerah Kota Kinabalu agar menyusun modul yang lebih teratur. Ini kerana saya difahamkan sejak beberapa minggu kebelakangan, para pembimbing  termasuk saya sendiri masih membetulkan fatihah mereka.

Ada beberapa orang yang dikira agak bagus tajwid dan fasahahnya, sementara sebahagian kecil mereka masih kedapatan kesalahan jali yang mesti dibetulkan. Ada kesalahan yang sama seperti hukum huruf ra, ha pedas dan lain-lain.

Saya nyatakan, biarlah teguran itu datang dalam program ini, dan janganlah di tempat masing-masing orang mengata bacaan imam yang tidak betul dan sebagainya.

Jadi para imam mesti berani dan jujur untuk membetulkan diri masing-masing. Bukan Imam Muda saja mesti dibimbing. Imam tidak berapa muda pun sama juga. Pertemuan berakhir 11.45 pagi.