Archive for Mei, 2010


MEREKA YANG BERJASA


Sedang saya membelek-belek album lama, perhatian saya tertumpu kepada gambar ini.Ini gambar kenangan guru-guru SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah.

Pengetuanya ialah (Datuk) Ustaz Hj Ahmad Alawi Hj Adnan dan Penolong Kanannya ialah Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim.

Dalam baris pertama gambar ini rasanya hanya Datuk Hj Ahmad Alawi yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam sehingga kini sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sabah, sementara yang lain sudah bersara.

Juga masih ada Allahyarham Ustazah Misliah Kasan. Ustaz Hamdani kini Pengetua di SMAI Pantai Manis Papar, Cikgu Abu Bakar Madiasin kini salah seorang Penolong Kanan di SMAI TPHR, Ust Adam Abd Hai kini PTA JHEAINS di Sandakan dan Ustazah Hjh Zubaidah kini di Bahagian Pendidikan JHEAINS.

Saya kurang pasti secara tepat tahun gambar ini dirakam, tetapi rasanya sekitar tahun 93-94.

Sesungguhnya mereka telah menabur budi dan ilmu yang besar sekali buat kami semua. Semoga Allah memberi ganjaran yang besar buat mereka.


Pasangan ini baru mendirikan rumahtangga 2 bulan lalu.

Ustaz Aswadi Abdullah dan isterinya Puan Arni Nisliza sama-sama orang Kelantan. Ustaz tamat mengaji di UMS tahun 2006 dalam bidang electrical dan kemudian bekerja sebagai jurutera di Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Tg Aru.

Dalam tempoh bekerja itu juga beliau menyertai program pasca siswazah Diploma Pengajian Islam (DPI) setiap hujung minggu selama 2 tahun di Pusat Penataran Ilmu & Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai kumpulan yang pertama. Demikian saya menggelarnya ustaz.

Berikutan perkahwinannya tempohari, beliau memutuskan untuk berhenti di SESB dan kembali ke Kelantan bersama keluarga dan isteri yang dikasihi untuk mengusahakan perniagaan sektor perhotelan yang dijalankan oleh keluarga isterinya. Katanya 30hb Mei ini mereka akan balik ke Kota Bharu.

Pertemuan tanpa dirancang tempohari ketika beliau membawa isterinya berbulan madu di Sabah. Bagi pihak sahabat-sahabat di Sabah, kami mengucapkan selamat pengantin baru dan semoga berbahagia hendaknya.

TAHNIK LAGI

Kedatangan orang alim dapat dihidu dan diketahui dengan pantas sekali.

Kesempatan masa tidak sampai sejam di lokasi, ramai sahabat-sahabat yang punya anak kecil mengendong anak masing-masing untuk ditahnik oleh tok guru.

Ruang masa untuk melakukan ibadah tahnik diambil sebentar walaupun semuanya tahu tok guru dalam keadaan terbatas masanya kerana urusan perjuangan yang jauh dan panjang.

Ada empat bayi sempat ditahnik dan didoakan oleh tok guru, mudah-mudahan keberkatan ilmu dan perjuangan alim ulama ini mengalir dalam tubuh anak-anak kecil ini.

Gambar atas : Bayi ini adalah pangkat cucu tok guru, sebab bayi ini cucu kepada kakak tok guru. Ibu bayi  ini – Puan Sumayyah (di belakang) adalah anak buah beliau. Ada juga waris keturunan tok guru di Sabah.

Buku Yang Sudah Dibaca :

Karya: (Allahyarham) Dato’ Ishak Baharom

Penerbit : Kemilau Publika

Harga : RM 17.00 / RM 20.00

Ilmu moden terus menemukan, membuka dan mengungkapkan kepada kita mukjizat syariat yang mulia ini. Mukjizat yang datang bersama-sama Rasulullah SAW sejak 14 abad yang lalu, sehingga keagungan, manfaat serta kesesuaian agama ini untuk setiap ruang dan waktu tidak diragukan lagi bagi orang-orang yang memiliki akal.

Ibnu Qayyim menggambarkan ibadah solat dengan ungkapan-ungkapan yang sangat baik, iaitu solat adalah ibadah yang mencegah daripada perbuatan yang mendatangkan dosa dan menolak pelbagai jenis penyakit hati, mengusir penyakit fizikal.

Melampaui faedah-faedah duniawi, solat tetaplah bahan anugerah dari langit yang mempunyai falsafah amali yang lebih berdarjat. Ia adalah alat bertajalli. Ia talian komunikasi antara langit dan bumi dan seisinya. Solat adalah puncak segala hiburan.

***

Selain menceritakan perkara-perkara asas dalam solat, penulis dalam karya terakhirnya ini bersama dengan Azrul Hakim Suradi turut menceritakan keistimewaan solat, dan fadhilat-fadhilat berwudhu dan solat itu sendiri termasuk daripada segi kesihatan.

Turut dimuatkan beberapa kisah benar para sahabat yang berkait dengan solat mereka.

Solat hajat pada 24 April 2009 di Surau Taman Austral

Mungkin ramai orang Sabah sendiri yang berada di luar daerah Penampang tidak mengetahui bahawa daerah ini tidak mempunyai masjidnya sendiri. Baik masjid kampung ataupun bertaraf masjid daerah.

Hanya sebelum ini daerah Putatan – yang kini sudah  menjadi daerah penuh – ketika ia masih dalam kawasan Penampang, Putatan sendiri mempunyai banyak surau dan masjid. Tetapi di kawasan utama Penampang sendiri tidak mempunyai masjidnya sendiri.

Beberapa tahun lalu, SMK Peter Mojuntain di Penampang membuat usaha murni dengan mengadakan solat Jumaat di surau sekolah. Ia jelas menjadi tumpuan umat Islam yang semakin ramai di daerah ini.

Kedudukan daerah Penampang sama seperti Tuaran dan Putatan, iaitu daerah yang berjiran dengan ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu. Ketiga-tiga daerah ini menjadi pintu masuk khususnya jalan darat ke ibu negeri.

Memang menjadi rahsia umum, usaha-usaha mendirikan sebuah masjid di daerah ini sudah lama diikhtiarkan, namun ia mendapat bantahan banyak pihak yang berkepentingan.

Memang sejarah Penampang tidak jauh dengan jirannya Tambunan yang majoriti penduduknya satu masa dahulu  (dan sehingga kini) bukanlah beragama Islam. Daerah Tambunan sendiri meski peratus umat Islamnya sedikit kini sudah mempunyai banyak masjid, surau.

Bahkan ada masjid daerah, beberapa masjid dan surau kampung, ada sekolah agama negeri, sekolah menengah agama Islam dan rumah anak yatim (RAY) kelolaan JHEAINS.

Itulah pula bezanya dengan Penampang. Selain surau di SMK Peter Mojuntain, memang tiada surau dan masjid lain di sini. Sekolah agama peringkat rendah dan menengah apatah lagi.

Sedangkan penduduk, peniaga, penjawat awam dan pekerja muslim di daerah ini sudah bertambah ramai dengan adanya taman-taman perumahan, pusat perniagaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang menempatkan pekerja dan pegawai muslim bertugas di sini.

Bahkan saya pernah mendengar seorang kenalan yang tinggal di daerah ini sejak 4-5 tahun lalu merungut kerana sangat jarang menyertai solat berjamaah di masjid atau surau kerana ketiadaan rumah ibadat itu di sekitar mereka.

Seorang pakcik yang berjuang agar sebuah masjid didirikan di daerah ini, kami kenali beliau sebagai Hj Ahmad. Setiap minggu beliau terpaksa turun naik bas beberapa kali untuk solat Jumaat di Masjid Negeri dengan tambah tidak kurang RM5-RM7.

Untuk solat berjamaah dan solat Jumaat, yang terdekat ialah di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Negeri Sabah atau Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru. Masjid Nurul Hikmah dan Masjid Negeri berada dalam daerah Kota Kinabalu sementara Masjid Nurul Ihsan dalam daerah Putatan.

Dengan idea asal beberapa sahabat, kemudiannya dibawa ke dalam Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN), kini usaha serius sudah berjalan.

Saya teringat lagi, dalam rekod saya pada 24 April 2009 di Surau Austral pernah diadakan solat hajat agar hasrat urusan pembinaan Masjid Penampang ini dirahmati dan mendapat inayah-Nya.

Saya tentu tidak dapat menghadiri kesemua mesyuarat JK Waqaf Masjid Penampang sehingga kini, namun nampaknya menurut maklumat, kehadiran ketika itu adalah antara yang teramai.

Dengan izin Allah, seorang hamba Allah telah bersetuju menjual tanahnya dengan nilai yang  lebih murah berbanding  harga pasaran. Keluasan tanah berkenaan di Jalan Penampang Bypass amat bersesuaian dengan sebuah bangunan masjid yang sederhana.

Kini, kami memohon ihsan tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama kami, membantu dengan menginfaqkan sedikit wang dengan kadar RM100 untuk satu lot berukuran 1 kaki persegi.

Sumbangan boleh disalurkan secara tunai, cek, pemindahan wang bank, atau memasukkan terus ke akaun bank ‘Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang’ di Akaun Bank Islam bernombor : 10016010074517.

Ingatlah waqaf juga termasuk salah satu jenis sedekah jariah yang pahalanya sentiasa mengalir selama ia masih dimanfaatkan. Ia boleh diniatkan untuk diri sendiri atau ahli keluarga yang masih hidup atau sudah kembali kerahmatullah.

Mudah-mudahan Allah SWT memurahkan rezeki tuan-tuan dan puan-puan atas sumbangan ini demi tertegaknya sebuah masjid di daerah Penampang. Maklumat lanjut di sini.

Gambar mesyuarat 24 April 2009 dalam koleksi saya.


Insya Allah, jika tiada aral melintang, saya akan ke udara di saluran radio Sabah FM secara langsung pada selasa hadapan jam 8.15 – 9.00 malam.

Rancangan ini diberi nama Tilawah Interaktif diadakan sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di negeri Sabah pada akhir jun nanti. Ia diadakan secara kerjasama antara RTM dan JHEAINS.

Saya dimaklumkan rancangan ini sudah ke udara selama 3 minggu setiap selasa malam rabu. Pada minggu pertama, puan pengetua Maahad Tahfiz diundang sebagai pengenalan program ini.

Minggu lalu diisi oleh Datuk Hj Mokhtar Rapok sementara malam tadi oleh Ust Hj Ghazali Sulaiman – kedua-duanya bercerita tentang ilmu tarannum. Para pendengar juga diberi peluang untuk memperdengarkan bacaan mereka untuk disemak oleh tetamu rancangan.

Minggu akan datang, saya akan membicarakan tentang pengenalan ilmu qiraat, ulama-ulama’nya serta kaedah  pengamalannya. Kalau ada kesempatan, para pendengar juga berpeluang untuk mendail terus ke studio.


PANORAMA SESUDAH HUJAN

Gambar 1 : Diambil dari Wisma MUIS. Saja nak tunjukkan langit yang bersih tapi masih mendung, kerana hujan baru berhenti.

Petang semalam, keluar pejabat awal sedikit berbanding biasa.

Sejak jam 3 lebih, hujan di sekitar Kota Kinabalu turun dengan lebatnya. Kebetulan sekitar jam 5.20 petang keluar daripada pejabat, ketika itu saya menyandang beg berisi kamera.

Timbul idea baru untuk ambil beberapa panorama sesudah hujan ini beberapa minit sebelum berangkat pulang.  Awan dan langit nampak lebih cerah setelah hujan turun. Bersih.

Nikmati dan perhatikan baik-baik foto-foto berikut…

Gambar 2 : Ini gambar asal.  Seorang lelaki yang berjalan di celah-celah air hujan yang bertakung. Di takungan itu, ada cerminan songsang kubah masjid dan pohonan kurma.

Gambar 3 : Foto yang sudah diputar (rotate) 180 darjah. Kubah masjid dan individu yang berjalan sebenarnya hanyalah cerminan melalui takungan air.

Gambar 4 : Foto yang diputar (rotate) 180 darjah. Gambar fokus kepada air yang bertakung. Isinya kubah masjid yang diapit oleh pohon kurma.

Gambar 5 : Hendak faham gambar 2 hingga 4, lihat ini.

Gambar 6 : Kubah-kubah kecil masjid negeri.

Ini hanyalah percubaan pertama buat perkongsian bersama-sama. Sudah tentu masih banyak yang perlu saya pelajari. Ini sekadar mengisi hobi dan minat yang sudah disemai sejak sekolah rendah lagi.

Melalui rekod seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW pernah bercerita berkenaan lelaki terakhir yang keluar neraka dan terakhir pula masuk syurga :

“Aku mengetahui orang yang terakhir sekali keluar dari neraka. Seorang lelaki keluar dari neraka dalam keadaan merangkak. Maka dikatakan kepadanya : “Keluarlah! Masuklah ke dalam syurga”.

Lelaki berkenaan pun bergerak pergi dari neraka menuju ke syurga.

Tetapi..

Lelaki berkenaan melihat rumah-rumah sudah bertuan dan didiami oleh penghuni masing-masing. Ia kemudian berpatah balik keluar.

Dia mengadu : “Wahai Tuhanku, sudah penuh! Orang-orang di syurga sudah memenuhi rumah-rumah mereka”.

Lelaki berkenaan ditanya : “Masihkah kamu ingat tentang zaman hidupmu di dunia dahulu?”

Ya, jawabnya.

Dikatakan kepadanya : “Sekarang beranganlah kamu! Bayangkanlah apa yang kamu inginkan di syurga ini”.

Lalu lelaki berkenaan pun berangan-angan. Apa saja yang terlintas di dalam hatinya dan pemikirannya.

Kemudian angan-angannya dijawab dan diperkenan : “Sesungguhnya kamu telah memperolehi apa yang baru saja kamu angankan, bahkan digandakan 10 kali ganda lagi berbanding apa yang ada di dunia!”

Mendengar hal itu, lelaki itu berkata : Wahai Tuhanku! Adakah Engkau menghina dan mempermain-mainkan aku? Padahal Engkau adalah Tuhan yang Maha Perkasa!

Demikian Nabi SAW bercerita tentang kisah penghuni terakhir keluar neraka dan orang terakhir masuk ke dalam syurga. 

Abdullah bin Mas’ud mendedahkan : “Ketika itu aku melihat Rasulullah SAW tertawa sehingga gigi geraham baginda jelas kelihatan”. (HR Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)

***

Hadith ini kami baca melalui kitab hadith Syamail Muhammadiyyah susunan Imam at-Tirmizi ketika kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan malam tadi.

Alhamdulillah, kedudukan mereka yang hadir dalam kuliah ini juga semakin tertib dan tersusun.

Kuantiti pendengar juga semakin bertambah dan sudah semakin ramai yang membeli dan memilik buku berkenaan untuk sama-sama menyemaknya. Saya perhati, sudah lebih 40 orang.

Mungkin hasil keberkatan daripada Allah SWT setelah kuliah intensif hadith 40 yang dibimbing oleh Ust Zainul Asri sepanjang sabtu lalu di masjid ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberi hidayah istiqamah kepada kita semua.

Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah diteruskan lagi dengan siri ke-4 pada ahad. Kali ini jumlah peserta jatuh sedikit kepada 200 orang sahaja.

Ketika saya tiba tepat jam 8.30 pagi, kelihatan pengacara majlis, Ribbang Hj Ampong baru memulakan acara dengan memperkenalkan sekali lagi biodata ringkas pembimbing iaitu Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Siri ke-4 kali ini berkisar tentang solat-solat sunat. Penceramah menghuraikan satu persatu pembahagian solat-solat berkenaan, sama ada solat sunat yang disunnatkan berjamaah dan solat sunat yang tidak disunatkan berjamaah.

Kursus berhenti rehat pada jam 12 tengahari untuk memberi laluan kepada solat zuhur dan kemudiannya bersambung pada jam 1 tengahari dengan sesi soal jawab yang biasanya dinanti-nanti oleh para peserta.

Tidak kurang 25 soalan yang dijawab oleh Ustaz Hj Muchlish dengan baik sekali. Majlis berakhir pada jam 2.30 petang dengan acara kuiz dan penyampaian sijil kepada semua peserta.

%d bloggers like this: