Archive for Mei, 2010


GANGGUAN KECIL


Ini bukan pertama kali blog kecil Abu Nuha Corner diganggu.

Satu ketika blog ini pernah juga cuba diusik kata kuncinya. Mujur pihak wordpress ada memaklumkan melalui emel akan gangguan berkenaan.

Sejak blog ini diaktifkan, ternyata komentar-komentar hangat juga memeriahkan bahkan sesekali mencemarkan ruangan yang disediakan.

Ada komentar yang panas tetapi bernas saya luluskan untuk ditayang. Namun yang agak kurang ajar saya abaikan saja. Kadang-kadang kasihan, nanti dibalas pula oleh komentar pembaca lain yang bertambah emosi.

Ada pengomentar panas dan kononnya ganas ini saya dapati orang baru dalam dunia blogging. Manakan tidak, mula-mula menyamar dengan nama lain, kemudian mengirim komentar kedua dengan nama lain pula.

Yang lucunya, nombor IP adalah nombor yang sama. Nak mengelentong pun, biarlah bijak. Boleh jadi mereka pun tak faham apa itu IP pun, yang dengan nombor IP tu sebenarnya lokasi mereka boleh dikesan.

Tapi kita bukan nak buang masa melayan dan mencari orang sebegini. Dengan tindakan mereka itu berkali-kali dan berulang menyebabkan kebodohan mereka terserlah. (Lepas ni kalau baca maklumat mesti dia kata dalam hati, alamak! Rupanya..).

Walaubagaimanapun atas perikemanusiaan, kalau komentarnya bersesuaian, saya akan siarkan juga walaupun ada komentar yang mengkritik saya sendiri. Kalau tidak, wassalamlah.

NAIM


Rasa badan mula kurang selesa pada lewat petang ahad. Namun saya gagahkan juga untuk memandu bersama keluarga ke Kg Likas menghadiri kenduri kesyukuran dan aqiqah sempena kelahiran anak ketiga ipar saya.

Naim, demikian nama diberi telah lahir pada 8 April. Di sebelah pihak Datuk Ismail Abbas, ini adalah cucu yang ke-26 sementara di sebelah kami ini cucu ke-16.

Rupanya, majlis marhaban terlebih dahulu diadakan sesama kaum ibu selepas maghrib. Manakala sesudah isyak, tidak lama sesudah kami tiba, giliran majlis marhaban dan doa untuk kaum bapa pula.

Ramai orang kampung khususnya jamaah Masjid Kg Likas dan Masjid Bandaraya hadir. Antaranya termasuk Datuk Hj Matusin Ag Damit, Hj Syed Hussin Habib Omar dan Ust Hj Parmin Sahlan yang mengetuai bacaan solawat dan doa.

Dua ekor kambing telah selamat ditumbangkan sempena kenduri aqiqah ini.



DERMA DARAH

Tajuk Asal : MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

Oleh Khairul Anuar bin Ismail

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama:

Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua:

Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi(dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga:

Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

“دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة”

Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus

“ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة”

Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum

“يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى”

Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar

“يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام”

Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum

Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat:

Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

Oleh:

Khairul Anuar Bin Ismail

Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010

http://ibnubarqi.blogspot.com/

MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

BAS BARU


Isteri saya memaklumkan terdapat sebuah bas baru melalui jalan Kota Kinabalu dan berakhir di Lok Kawi Height yang baru beroperasi sekitar seminggu lalu.

Katanya, tambang lebih murah. Dari KK ke Kg Meruntum hanya RM1.50 sedangkan kalau bas mini sudah mencapai RM2.00. Setiap pagi, bas ini akan bergerak dari Lok Kawi Height pada jam 6.45 pagi.

Bas yang bernama Sutera Pearl itu khabarnya setakat ini hanya baru sebuah sahaja dan bakal menerima beberapa buah lagi dalam masa terdekat.

Bagi saya, ini satu keuntungan kepada pelanggan dan penumpang khususnya bagi mendapat mutu perkhidmatan yang lebih baik dan selesa serta tambang yang lebih murah.

BUNGA KUWASA


Sebenarnya sejak zaman sekolah, antara tempat yang saya sukai kalau berkunjung ialah Bangunan KWSP di Karamunsing. Tiada pusat membeli belah, tiada kedai hebat, hanya pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.

Tetapi saya suka pokok-pokok bunga di situ. Seingat saya ketika pertama kali berkunjung ke sini semasa tingkatan 3 pada 1994, pokok-pokok bunga yang cantik ini sudah ada.

Ketika itu saya ingat bersama rakan-rakan kami melakukan kerja kursus di Kampung Sembulan Lama (yang saya lupa tajuknya). Berjalan sehingga kami sampai ke sini dan sempat beraksi depan kamera bergilir-gilir.

Teringat lagi kami bergambar di hadapan tanda nama UMNO yang terpampang kerana ketika itu pejabat UMNO di situ dan baru bertapak di Sabah.

Apatah lagi air pancut yang ada di hadapan blok B itu selalu membuatkan saya terperap duduk memerhati. Alah, orang kampung.

Gambar-gambar ini saya rakam lewat petang sabtu, setelah selesai kelas mengaji al-Quran di tingkat 8 blok B.



Bersama rakan-rakan lain, kami diberi amanah menghakimi beberapa kategori pertandingan sempena Festival Kesenian Islam KEMAS Negeri Sabah 2010 di Dewan Kinabalu, Kompleks Tabung Haji semalam.

Ada pertandingan Marhaban & Barzanji, Tilawah al-Quran, Pidato dan Nasyid. Saya terlibat sebagai hakim tajwid dalam tilawah al-Quran bersama-sama Ust Hj Abd Rahman Talipudin, Ust Hj Parmin Sahlan dan Ust Yusuf Ali.

Festival ini diadakan selama dua hari, sabtu dan ahad. Hari ini hanya sebagai majlis penutupan manakala semua pertandingan berlangsung seharian pada semalam. Nasyid yang menjadi tumpuan dilangsungkan sebelah malam.

Saya datang sekitar jam 10.30 pagi untuk memulakan tilawah al-Quran. Ketika itu pertandingan marhaban dan barzanji  di penghujung acara dan penonton agak ramai. Selepas rehat tilawah mengambil tempat untuk menguji 10 peserta qari dan qariah.

Para hakim diletakkan di hadapan sekali, berhadapan dengan peserta. Namun saya terkejut apabila menoleh ke belakang, audien yang terlalu sedikit. Ke mana menghilang penonton yang hampir memenuhi dewan awal tadi. Adakah benar mengaji al-Quran tidak diminati orang?

Hanya sedikit penonton sebelah kanan dan kiri, sementara di ruang tengah hampir kosong. Hanya berisi di barisan pertama dengan beberapa orang muslimat.

Selesai majlis tilawah dan jamuan, saya tidak menanti lama kerana program seterusnya di Bangunan KUWASA. Terima kasih KEMAS memberi peluang kami menyumbang khidmat dalam majlis ini.


AYAM


Sebagaimana yang direkodkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasa’ie, Darimi dan Ahmad, dikisahkan oleh Zahdam al-Jarmi :

“Suatu hari kami berkumpul bersama Abu Musa al-Asy’ariy RA lalu dihidangkan kepada kami daging ayam. Melihat hidangan itu, ada seorang lelaki yang mula menjarakkan diri.

Abu Musa bertanya kepadanya : Kenapa kamu menjauhkan diri?  Lelaki berkenaan menjawab : Aku melihat ayam memakan makanan yang kotor. Maka aku bersumpah untuk tidak memakannya.

Abu Musa berkata : Mari ke mari. Sebenarnya, aku pernah melihat Rasulullah SAW memakan daging ayam”.

***

Di sisi rumah kami, buat masa ini ada beberapa reban yang mengandungi tidak kurang 40 ekor ayam pelbagai saiz dan umur. Ada baru berumur 2 minggu, ada yang sudah 2-3 bulan dan ada yang menanti saat untuk disembelih.

Ada ayam telur, ayam daging (ayam karan) dan ayam kacukan siam. Tempohari ada banyak ayam kampung tetapi sudah habis disembelih. Biasanya sebulan, ada sekali dua kami menyembelih 3-4 ekor ayam sekaligus.

Ada untuk makan sendiri, ada juga untuk sedekah kepada jiran.

Namun, saat kita memakan ayam, bukan sahaja harganya yang sederhana dan dagingnya yang sedap, tetapi tolong ingatkan sama bahawa daging ayam adalah salah satu makanan sunnah yang digemari oleh Rasulullah SAW.

Oh ya, kami juga kini ada lebih kurang 10 ekor arnab termasuk 4 ekor yang baru berumur sebulan.


Buku Yang Sudah Dibaca :

Penulis : Normala Kari

Penerbit : Must Read Sdn Bhd

Harga : RM 17.90/ 20.90

Sekali lagi kisah para nabi dan rasul di titipkan bagi tujuan menyalurkan misi dakwah serta memperluaskan lagi bahan bacaan yang berunsurkan keislaman sebagai santapan minda penuh informasi.

Sesungguhnya kisah para nabi dan rasul ini, jika dikaji dan dihayati ianya akan memberi impak kepada perubahan minda dan paradigma seluruh umat Islam. Di dalamnya banyak terselit ramuan-ramuan dan rempah ratus kehidupan yang cukup membuahkan pengajaran kepada sesiapa sahaja yang ingin memikirkannya dan mengakui kebesaran Allah SWT.

KISAH PERJALANAN NABI MUSA merupakan himpunan kisah Nabi Musa a.s yang diadaptasikan dari al-Quran al-Karim. Bermula dengan kisah Nabi Musa dan Firaun, Nabi Musa dan puteri Nabi Syuaib, Nabi Musa dan Samiri serta Nabi Musa dan Nabi Khaidir yang memaparkan tentang kasih sayang, pengorbanan, pengajaran dan penyesalan untuk kita ambil sedikit iktibar daripada cerita yang dipersembahkan.

Disampaikan dalam bentuk cerita dan sajak menjadikan buku ini bertambah menarik, padat dan ringkas. Ianya dapat dijadikan landasan sebagai salah satu cabang bahan bacaan yang bersesuaian bagi semua peringkat umur.

Yang berserban tidak termasuk dalam rombongan umrah

Malam tadi, saya hadir dalam kenduri sempena keberangkatan sekumpulan jamaah Surau Austral ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah. Antara yang terlibat ialah Tuan Hj Ruslin dan isteri, Abang Jamil Dan sekeluarga, dan Abang Rashad sekeluarga.

Ust Azam sekali lagi memimpin dan mengetuai rombongan ini.

Mereka dijangka akan bertolak ke ibu negara pada rabu hadapan dan berangkat ke Jeddah pada pagi khamis. Menariknya,  selain keluarga abang Rashad, mereka juga akan meneruskan perjalanan setelah itu ke Jordan dan Syria.

Selepas Jordan dan Syria selama 4 hari, mereka dijangka meneruskan perjalanan berikutnya ke Istanbul pula. Hj Ruslin memaklumkan saya, mereka dijangka pulang pada 12hb Mei dan tiba di tanahair hari berikutnya.

Abang Rashad dijangka tinggal selama 2 minggu di Tanah Suci, kerana turut menziarahi keluarga dan orang tuanya yang sudah menetap di Tanah Suci Makkah.

Ust Hj Muchlish Ali Kasim ketika kenduri berkenaan sudi untuk memimpin bacaan doa semoga mereka selamat dalam perjalanan pergi dan balik, serta dianugerahkan umrah yang mabrurah. Semoga para mu’tamirin tidak melupakan  nama kami dalam doa-doa mereka di sana nanti.


%d bloggers like this: